Home Berita PAS Sarawak

Pemberian Minyak Wangi Meriahkan Hari Wanita di Sarawak

28
SHARE

 

Kuching, 8 Mac – Dalam usaha menghargai wanita-wanita unggul di sekitar Sarawak, dua program berasingan iaitu “Edaran Minyak Wangi sempena Hari Wanita” yang dianjurkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) dengan kerjasama Ameerah Sarawak dan Briged Muslimat Sarawak di Kota Samarahan dan Pasar Pusa telah berlangsung dengan meriahnya Jumaat lepas.

Pimpinan yang turut serta dalam program di sekitar parkir Aiman Mall, Kota Samarahan adalah Ketua Lajnah Perpaduan Nasional DMPNS, Ilyana Sabri dan Pengarah Briged Muslimat Sarawak, Siti Idarina To. Ujar Ilyana yang juga selaku pengarah program ini berkata, “Tujuan kami adalah untuk mengeratkan hubungan bersama rakyat dan memberikan penerangan tentang Islam secara tidak langsung kepada non-Muslim.”

Tambah Ilyana, “Dengan menambah elemen “PAS for All”, program ini berusaha untuk memupuk pemahaman kepada masyarakat bahawa PAS menekankan konsep keterbukaan, keadilan, dan keharmonian di kalangan semua golongan, tanpa mengira perbezaan agama, etnik, atau latar belakang sosioekonomi.”

Suasana meriah Hari Wanita diteruskan di Pasar Pusa, dimana acara yang sama telah dilaksanakan dengan kerjasama Ameerah Sarawak di bawah pimpinan Amisa Yunus selaku Timbalan Pengarah Ameerah Sarawak dan juga pengarah program di kawasan Batang Lupar.

Menurut beliau, “Program ini menitikberatkan perhubungan dua hala dengan masyarakat setempat melalui aktiviti kemasyarakatan. Melalui edaran cenderamata berupa minyak wangi ini, ia melambangkan penghargaan kepada wanita sekaligus memberi sentuhan khusus dalam meningkatkan rasa keyakinan diri menongkah arus kehidupan yang semakin mencabar.”

Disamping edaran minyak wangi, terdapat juga kad istimewa yang dicoretkan dengan ucapan  “Selamat Hari Wanita Sedunia buat semua wanita hebat. Wanita adalah ciptaan Allah yang paling indah di muka bumi ini. Hargailah diri kita yang diciptakan dengan pelbagai kebolehan ini.”

Program Edaran Minyak Wangi sempena Hari Wanita di Kota Samarahan dan Pasar Pusa tersebut telah berjaya mencapai objektif dengan menghubungkan PAS bersama wanita-wanita tempatan. Bahkan, ia bukan hanya menjadi suatu acara, tetapi satu pengalaman berharga yang mengukuhkan nilai keharmonian dan penghargaan terhadap wanita-wanita di Sarawak.