Home Kenyataan Media Presiden PAS

Pembebasan Palestin: Perjuangan tanpa noktah

392
SHARE

UCAPTAMA

DUTA KHAS PERDANA MENTERI KE TIMUR TENGAH

YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Sempena

Majlis Pelancaran Kempen #Aid4Palestine

3 Syawal 1442 / 15 Mei 2021

“PEMBEBASAN PALESTIN: PERJUANGAN TANPA NOKTAH”


 


Assalamu’alaikum warahmatullah wabarakatuh,

الحمد لله وحده، صدق وعده، ونصر عبده، وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده. أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله البدر الدجى والسراج المنير. اللهم صل وسلم وبارك على حبيبنا وشفيعنا وإمامنا وقدوتنا محمد إمام المتقين وقائد الدعاء المجاهدين، وعلى آله وصحبه أجمعين، ومن صار على نهده إلى يوم الدين. أما بعد.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Kita menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dalam suasana yang sangat mencabar umat Islam. Menghadapi kepungan Ahzab zaman moden yang sangat mencabar dengan berlakunya serangan dan pencerobohan yang ganas ke atas Ghazzah (Gaza), satu wilayah yang kecil ditumpukan secara khusus bagi menghapuskan gerakan Hamas dan Tanzim Jihad yang berjenama Islam.

Alhamdulillah, semua kumpulan Palestin bersatu tanpa mengira fahaman politik. Semua kelompok dan masyarakat majmuk Palestin, terdiri daripada masyarakat Islam dan Kristian bersatu bergandingan bahu menghadapi pencerobohan yang ganas itu. Pencerobohan yang tidak syak lagi direstui oleh kuasa-kuasa besar dunia yang membekalkan segala jenis senjata kepada Israel.

Pembekalan senjata itu diberikan sejak mula pengiktirafan pada awal penubuhannya lagi secara bertali arus, termasuk senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa. Israel dilindungi dan mendapat kedudukan imuniti dari segi undang-undang antarabangsa, mendapat perlindungan keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta dilindungi kuasa veto, yakni kuasa-kuasa besar Barat secara khusus.

Walaupun dalam suasana ini, mereka berebut kononnya untuk mencari perdamaian, tetapi mereka hakikatnya berpura-pura, berlakon, dan berwayang di sebalik mendukung kerajaan yang ganas dan zalim itu. Mereka membunuh rakyat Palestin tanpa mengira lelaki, perempuan, orang tua, mahupun kanak-kanak serta menceroboh rumah-rumah ibadat, masjid, dan gereja dengan semangat ideologi Zionisme yang paling fanatik.

Ideologi itu juga yang menubuhkan negara Israel dan telah berjaya melantik pemimpin-pemimpin Israel sejak mula ditubuhkan sehingga hari ini. Itulah tokoh-tokoh yang dilatih oleh Zionis dengan berbagai-bagai pendekatan untuk menegakkan empayar Yahudi fanatik bagi menguasai seluruh dunia. Perkara itu menjadi rancangan gerakan Freemason, diikuti perkembangannya oleh gerakan Zionis yang dapat menguasai politik-politik negara kuasa besar dunia.

Puak-puak mereka dapat menguasai media, pertubuhan, dan ekonomi antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan PBB dan Bank Dunia (World Bank). Dengan penguasaan ini, mereka menggunakan berbagai-bagai cara.

Sepatutnya, dalam suasana seperti ini, kita mendukung kebangkitan rakyat Palestin yang sudah bersatu, bukan sahaja di Gaza, bahkan di seluruh Palestin. Bukan sahaja di Tebing Barat, malah termasuk di negara haram Israel. Orang-orang Arab Palestin daripada Muslim dan Kristian sama-sama bangkit.

Kita sangat gembira kerana rakyat-rakyat Arab di sekeliling Palestin mendukung dengan semangat yang kuat, tidak lemah sepertimana kerajaan-kerajaan mereka. Inilah barangkali yang disebut oleh Nabi SAW:

“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّيْنِ ظَاهِرِيْنَ، لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِيْنَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ. وَهُمْ كَذَلِكَ،” قالوا: “يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟” قال: “بِبِيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.”

“Akan tetap ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan gagah perkasa menegakkan kebenaran daripada Allah. Mereka tidak boleh dilunturkan semangat oleh orang-orang yang mengecewakan mereka.” Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka, wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab, “Mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan sekeliling Baitul Maqdis.” (Riwayat Ahmad 22320)

Zionis Israel telah tersilap langkah seperti mengusik sarang tebuan dengan menceroboh kawasan Sheikh Jarrah, menghalau penduduk-penduduk Palestin dari rumah-rumah mereka untuk didiami oleh pendatang-pendatang Yahudi, serta menceroboh Masjid al-Aqsa. Pendatang-pendatang ini diberikan senjata, dibenarkan untuk menggunakannya, serta dilindungi oleh polis dan tentera Israel, sedangkan orang-orang Arab berlawan dengan tangan kosong, dengan batu, tiada senjata. Mereka tidak menyerah kalah.

Mereka menyangka, mereka boleh mengalahkan kumpulan yang bangkit ini, membenarkan apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW. Kita melihat sudah ada demonstrasi dan kebangkitan di Jordan, Lubnan, Syria, Mesir, dan di sekeliling Palestin untuk mendukung. Sehingga ini, beberapa negara sahaja yang secara terbuka menyokong Palestin dalam menentang penubuhan Israel.

Paling terbuka ialah Republik Islam Iran, diakui oleh Palestin. Iran membekalkan segala senjata dan kewangan, bahkan membekalkan pemimpin-pemimpin tentera mereka untuk membantu Palestin. Saya suka membaca; termasuk dalam kalangan pemimpin itu ialah al-Syahid Mustafa Chamran, Qassem Soleimani, dan Abu Mahdi al-Muhandis. Mereka terlibat secara langsung dalam perang di Palestin.

Adapun mereka yang bergelar Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, terdapat segelintir daripada kalangan mereka yang menjadi anak kepada kerajaan-kerajaan yang ditubuhkan oleh Perjanjian Sykes-Picot sebagai hadiah selepas kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah. Kerajaan ini sangat mengenang jasa kuasa-kuasa besar.

Kuasa-kuasa besar itu meletakkan mereka di atas takhta dan singgahsana bagi memerintah. Pemimpin kerajaan turut diberikan kekayaan kewangan dengan kemudahan teknologi Barat untuk memeras hasil-hasil bumi yang kaya itu. Mereka diberikan duit, kekayaan, dan kemewahan bukan untuk membantu perjuangan Palestin menentang musuh-musuh Islam.

Hari ini, puak-puak ini digunakan sebagai alat dalam melemahkan dan melumpuhkan saf kalangan umat Islam, di samping memecahkan kebangkitan semula umat Islam yang dijanjikan oleh Allah SWT:

﴿يُرِيدُونَ لِيُطۡفُِٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ٨﴾

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah al-Saff: 8)

Cahaya Islam yang tidak boleh dipadamkan ini mencetuskan kebangkitan Islam di seluruh dunia, termasuk di negara kita, benua India dan Pakistan, Asia Tengah, Turki yang pernah menjadi kuasa besar dunia, serta di utara Afrika. Kini, Turki bersama dengan Iran bangkit menjadi kuasa besar yang tidak tunduk kepada Barat dan Timur. Kita mengharapkan Iran dan Turki bergabung kekuatan Islam untuk menghadapi cabaran baharu ini.

Alhamdulillah, pertembungan yang berlaku di Palestin dan Gaza hari ini banyak berpihak kepada Palestin. Israel gagal menundukkan Hamas dan Tanzim Jihad. Apa yang berlaku ialah serangan udara secara bertubi-tubi dan bertali arus, kemudian dibalas oleh semua kumpulan Palestin dengan menggunakan senjata yang diberikan kepada mereka.

Mereka melancarkan serangan balas ke dalam Israel apa yang tidak dapat dibuat selama ini. Serangan ini ialah serangan udara sahaja. Apa yang menjadi penentu kepada peperangan sama ada menang ataupun kalah ialah peperangan darat. Kita menunggu peperangan darat bila akan berlaku.

Kita melihat bagaimana Israel teragak-agak dan takut untuk melancarkan serangan darat. Mereka takut terperangkap dengan senjata-senjata canggih yang dipunyai oleh Palestin. Belum lagi senjata yang dimiliki oleh Iran, Turki, Syria, dan Lubnan.

Apa yang ada di Palestin pun, mereka sudah tidak boleh mengatasinya. Malah, apa yang disebut sebagai sistem pertahanan Kubah Besi (Iron Dome) untuk melindungi Israel daripada serangan roket dapat ditembusi oleh serangan-serangan Palestin dengan senjata yang canggih.

Dengan sebab itu, kemungkinan besar berlaku usaha gencatan senjata oleh Amerika dan kuasa-kuasa besar dunia bagi mempengaruhi negara-negara Islam dan Arab supaya menerima gencatan senjata. Tujuannya bukan untuk berdamai, namun untuk menyelamatkan Israel yang ganas. Usaha itu sedang dijalankan sekarang.

Kita mengharapkan supaya kemenangan itu dapat ditingkatkan lagi dari masa ke masa, sehingga kita dapat menunjukkan bahawa Islam itu ialah suatu kekuatan ummah yang mesti ditegakkan.

Sekarang, rakyat Palestin telah mengorbankan para syuhada. Rakyat di sempadan-sempadan negara itu telah menyumbangkan para syuhada dalam menghadapi pencerobohan yang berlaku, termasuk Iran, Pakistan, dan Bangladesh yang pernah menyumbangkan para syuhada dalam mempertahankan Palestin.

Kita yang bercakap kuat atas nama mazhab dan pelbagai nama lagi, apa yang telah kita buat dalam menghadapi musuh Allah yang besar ini? Allah telah menyebut dalam al-Quran:

﴿۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ … ٨٢﴾

“Demi sesungguhnya, engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik…” (Surah al-Ma’idah: 82)

Sudah tentu Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah Yahudi Zionis. Di sana, ada Yahudi yang tidak Zionis yang menentang penubuhan negara Israel. Hal ini demikian kerana, mereka membaca dalam kitab suci mereka; penubuhan negara Israel sebenarnya adalah untuk menggali kubur kepada bangsa Yahudi sendiri dan akan melenyapkan bangsa mereka pada akhir zaman dalam tangan umat Islam.

Umat Islam mesti percaya. Carilah dalam kitab hadis; dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, dan Sunan al-Sittah. Di sana, ada banyak hadis yang sahih riwayat ulama’-ulama’ Ahli Sunnah. Jika ada hadis yang daif pun kerana sanadnya sahaja yang diriwayatkan oleh ulama’ Syiah.

Ulama’ Ahli Sunnah bersatu dalam mempertahankan Islam sejak dahulu. Jamaluddin al-Afghani, Muhammad ‘Abduh, Rashid Rida, Sultan ‘Abd al-Hamid, Ayatollah Kashani, Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Navvab Safavi, Abu al-A‘la al-Mawdudi, dan lain-lain, termasuk Dr. Burhanuddin al-Helmy bergabung semenjak awal mempertahankan Islam dalam menghadapi Zionis ini, sejak mula tertubuhnya negara Israel pada tahun 1948 sehingga hari ini.

Malaysia pernah memainkan peranan yang sangat berani sejak awal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Kerajaan pada masa itu pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj RH, beliau berani menjemput Syeikh Mohammed Amin al-Hussaini, Mufti Palestin dan pemimpin gerakan Palestin dari awal yang diharamkan oleh negara-negara Barat daripada mendapat visa untuk melawat seluruh dunia kerana tidak mendukung Berikat yang mempunyai Zionis dalamnya ketika Perang Dunia Kedua.

Tindakan Syeikh Amin al-Hussaini yang tidak mendukung Berikat menyebabkan beliau sudah disekat pergerakannya. Namun, ketika Musabaqah al-Quran yang pertama pada tahun 1960, saya masih ingat lagi walaupun masih remaja, Almarhum Syeikh Amin al-Hussaini dijemput oleh Kerajaan Malaysia untuk datang ke Malaysia dan berucap dalam Musabaqah al-Quran yang pertama itu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Ini merupakan pengiktirafan beliau terhadap perjuangan Palestin. Pada masa itu, belum ada lagi Fatah, Hamas, Tanzim Jihad, dan Palestine Liberation Organization (PLO). Alhamdulillah, hari ini, tumbuhnya gerakan-gerakan Palestin yang bercambah dengan banyak di Palestin. Semua gerakan ini menentang Israel. Mereka berpecah dari segi pendekatan dengan sebab pengaruh politik di sekeliling mereka.

Alhamdulillah, dengan peristiwa yang berlaku hari ini, mereka bersatu. Alhamdulillah. Kita berharap supaya kerajaan Islam termasuk Kerajaan Malaysia bangkit dengan proaktif mendukung perjuangan Palestin dalam mempertahankan kedaulatan, mempertahankan syakhsiah, dan menentang musuh yang paling besar dalam sejarah manusia, iaitu kaum Zionis Yahudi yang membunuh nabi-nabi dan rasul-rasul AS, bangsa yang dilaknat oleh Allah.

Cukup kita ulangi dalam tiap-tiap rakaat sembahyang:

﴿إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ٧﴾

“Engkaulah sahaja (ya Allah) yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni‘mat kepada mereka (siddiqin, syuhada, dan solihin), bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai (Yahudi), dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat (Nasrani). (7)” (Surah al-Fatihah: 5–7)

Kita mengulangi bacaan di atas dalam tiap-tiap rakaat solat, termasuk solat jenazah yang tiada rakaat. Malangnya, kebanyakan orang Islam buta al-Quran, tidak mengetahui apa yang dibacanya. Kalau dia sedar akan perkara ini, sudah tentulah akan bangkit semangatnya semula dengan peristiwa yang berlaku ini.

Akhirnya, marilah sama-sama seluruh umat Islam memberikan sumbangan masing-masing dengan menyahut seruan Allah SWT:

﴿وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا٧٥﴾

“Dan apakah yang menghalang kalian (maka kalian) tidak mahu berperang di jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas daripada kaum lelaki, perempuan, dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir Musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh).’” (Surah al-Nisa’: 75)

Allah ialah Pelindung. Kita ialah hamba-hamba Allah. Maka, wajib bagi kita untuk mengikut kedudukan masing-masing. Sesiapa yang berada di medan, berperanglah. Sesiapa yang mampu memberikan senjata, berikanlah senjata. Sesiapa yang mampu memberikan wang, berikanlah wang.

Termasuklah yang paling lemah dan duduk di atas tikar sembahyang, berdoalah kepada Allah supaya memberikan kemenangan. Allah SWT dan Nabi SAW berjanji bahawa semuanya akan mendapat kelebihan. Cukup kita memberikan sumbangan ini.

Saya rasa, sekadar itulah ucapan saya. Kita doakan supaya Allah SWT memberikan kekuatan iman, ikhlas, dan istiqamah kepada saudara-saudara kita di Palestin yang sedang mengorbankan diri, jiwa raga, keluarga, anak-anak, harta, dan segala ni‘mat, termasuklah bekalan air yang terputus. Inilah pengorbanan.

Kita berdoa juga supaya Allah menerima segala sumbangan, menerima para syuhada mereka, menyembuhkan orang-orang yang luka, cedera dan sakit, merahmati mereka yang telah meninggal dunia, serta membinasakan musuh-musuh Allah dalam kalangan orang-orang bukan Islam dan orang-orang munafik yang berkeliaran dalam kalangan orang-orang Islam.

وبالله التوفيق والهداية، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته.