Home Berita PAS Melaka

Pembangunan: Nelayan untung atau rugi?

272
SHARE

Oleh IBNU JANIE
Foto ABU ANAS

TANGGA BATU, 11 Okt : Walau pun sering dikatakan bahawa sesuatu projek pembangunan yang dijalankan di sesuatu kawasan bakal membawa keuntungan kepada penduduk sekitar, namun ia tidak selalunya begitu.

Menurut seorang nelayan pantai dari Kampung Balik Bukit, Pantai Kundor, Md Jali Ibrahim, 69, perkara ini menjadi persoalan terhadap projek mega tambakan laut yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Melaka sekarang ini.

Md Jali Ibrahim

“Siapa yang untung? Siapa yang rugi? Yang untung kerajaan negeri, kontraktor. Tapi kenapa nelayan rugi? Kita tanya kenapa nelayan rugi?

“Dulu buat Petronas (Petronas Penapisan) macam tu punya besar, kita tak dapat apa-apa. Bukan sekarang, dulu pun macam tu juga. Tapi janganlah kacau nelayan. Tambak sana, sini tak boleh (menangkap ikan), sana tak boleh,” kata beliau.

Tambah beliau, kerap kali berlaku apabila kerajaan melaksanakan sesuatu projek mereka tidak berunding dahulu dengan nelayan yang merupakan salah satu pihak pemegang taruh, tetapi mereka hanya dipanggil setelah projek itu dimulakan.

Katanya lagi, projek pembangunan dilakukan kerajaan telah menyebabkan kawasan mereka menangkap ikan semakin mengecil dan jumlah tangkapan juga semakin sedikit.

Jelas Md Jali, pada usia beliau yang sudah hampir mencecah 70 tahun sudah tentu menjadikan sukar untuk mencari rezeki selain daripada bidang menangkap ikan yang telah beliau ceburi sejak usia muda.

“Yang saya sedih kalau dah tambak, janji nak bayar. Tapi sampai masa tak bayar. Saya sendiri dekat Sungai Lereh dengar-dengar nak bayar, tapi tiada. Ke mana pergi duit tu? Itu duit hak rakyat,” kata beliau kesal.

 

Beliau meluahkan perkara ini semasa sesi dialog bersama dengan Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pusat bersama dengan Persatuan Penduduk dan Nelayan Kampung Balik Bukit, di sini pada Sabtu (8 Oktober).

Sementara itu seorang lagi penduduk yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Persatuan Penduduk, Azman Mohd Yatim, pula membangkitkan tentang isu habuk daripada kelapa sawit yang mencemarkan udara sekitar kampung.

Menurut beliau perkara ini berlaku akibat daripada aktiviti memunggah kelapa sawit daripada jeti ke kapal di mana ia mengeluarkan sisa habuk yang menjadi punca pencemaran udara dan kebersihan kampung.

Azman Mohd Yatim

Katanya lagi, habuk ini akan melekat pada baju di ampaian yang akan menyebabkan baju kotor dan menimbulkan penyakit gatal apabila baju ini dipakai.

Tambah beliau akibat keadaan berhabuk menyebabkan anak-anak kecil tidak dapat bermain di halaman rumah dan lantai terpaksa dibersihkan selalu kerana lantai kotor.

Jelasnya, aduan pernah diajukan kepada Adun Pantai Kundur, Tuminah Kadi, namun sehingga kini tidak ada perkembangan yang boleh melegakan penduduk.

“Kita maklumkan kepada dia (Tuminah) supaya ambil tindakan membantu kita sebab dialah yang jaga kita sepatutnya. Tapi sampai sekarang tidak ada apa-apa (samada) telefon sayakah, nak datang mesyuaratkah, tak ada. Berbanding dengan (Adun) dahulu yang kita ada isu fasal arang batu, alhamdulillah dia membantu,” ujar Azman.

Dr Azman Ibrahim (kiri)

Pengerusi LATAS PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim yang hadir pada sesi dialog itu pula berjanji akan mengangkat perkara itu kepada kementerian-kementerian berkenaan.

“Saya bagi pihak LATAS PAS Pusat, kita mengambil komitmen untuk mengangkat isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat di sini ke pihak kementerian yang berkaitan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), untuk dilihat secara mendalam dan diambil tindakan tindakan yang sepatutnya.

“Kita nak pembangunan-pembangunan seiring aspirasi rakyat. Dalam masa yang sama ia mewujudkan satu suasana yang harmoni mengambil kira kepentingan semua kelompok masyarakat ni insya-Allah,” ujar beliau.

Tambahnya penduduk kampung tidak menolak pembangunan namun ia haruslah tidak menjejaskan aktiviti mereka memcari rezeki yang mana pembangunan ini menyebabkan kawasan tangkapan semakin sempit.

“Bukan setakat semakin sempit malah dalam masa yang sama adanya kapal-kapal yang berlabuh di laut sana menyebabkan mengganggu kawasan tangkapan nelayan.

“Dan jumlah tangkapan nampak berkurangan secara mendadak berdasarkan kepada maklumat yang diberikan oleh orang lama yang sudah berpuluh tahun menjadi nelayan di sini,” ujarnya.

Turut hadir di dalam pertemuan ini ialah Pengerusi LATAS PAS Melaka, Jamarudin Ahmad, ahli-ahli jawatankuasa lajnah ini peringkat Pusat dan Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Balik Bukit, Ramlan Amad.

LATAS berkampung selama dua hari di Melaka bermula Sabtu bagi bermesyuarat selain lawatan-lawatan ke lokasi-lokasi berkaitan pertanian dan perikanan.

Jamarudin Ahmad (dua dari kiri)
Ramlan Amad (kiri sekali)

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH