Home Kenyataan Media PAS Melaka

Pemaju Gembira Rakyat Berduka

292
SHARE

KENYATAAN MEDIA
18 OKTOBER 2019

PEMAJU GEMBIRA RAKYAT BERDUKA

1. Bajet 2020 yang baru dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 11 Oktober 2019 baru-baru ini adalah merupakan budget terakhir bagi RMK 11 sebelum beralih kepada RMK 12, bagi tahun 2021 – 2025. Jumlah keseluruhan bajet 2020 adalah berjumlah RM 297.02 billion, kurang RM17.6 bilion berbanding belanjawan lepas.

2. Secara amnya, sejumlah 81.21%, iaitu RM241 billion adalah untuk tujuan pengurusan manakala baki 18.79% iaitu RM56 billion adalah untuk tujuan pembangunan.

3. Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Melaka merasa terpanggil untuk menarik perhatian kepada salah satu isu yang dibentangkan dalam Bajet 2020, iaitu menurunkan had pemilikan atau pembelian hartanah dari RM1 juta kepada RM600,000.00 untuk warga asing.

4. Masalah lambakan hartanah yang tidak terjual adalah manifestasi dari sikap pemaju-pemaju yang begitu ghairah untuk membina hartanah atau rumah jenis mewah dengan hasrat untuk meraih keuntungan yang tinggi dan dalam masa yang sama gagal untuk melihat kemampuan sebenar sebahagian besar rakyat di negara ini.

5. Umum mengetahui sebahagian besar dari rakyat yang bekerja di negara kita ini adalah terdiri dari mereka yang berada di tahap B40 dan M40. Pendapatan pada tahap ini memungkinkan mereka untuk membeli rumah pada kadar antara RM110,000.00 hingga RM300,000.00 sahaja.

6. Kajian yang dijalankan oleh “Khazanah Research Institute” (KRI) menunjukkan hanya 20% rumah yang berada dalam pasaran sekarang berada dalam kategori mampu milik. Data dari KRI juga menunjukkan nisbah harga rumah di Malaysia berbanding pendapatan isi rumah adalah 5 kali. Sedangkan mengikut kayu ukur yang ditetapkan oleh “United Nations Centre for Human Settlement”, ia adalah 3 kali sahaja. Ini menunjukkan harga rumah di Malaysia kebanyakannya berada di tahap tidak mampu milik ataupun hanya mampu lihat sahaja.

7. Justeru PAS Melaka melihat isu utama di negara kita ini adalah isu pemilikan rumah oleh rakyat tempatan dan bukannya soal menurunkan harga pemilikan rumah oleh warga asing. Pengawalan juga harus dibuat bagi memastikan tidak berlakunya spekulasi luar jangka dimana pemaju mengambil kesempatan menaikkan harga rumah sedia ada, contohnya menaikkan harga rumah yang bernilai RM400,000.00 atau RM500,000.00 kepada RM600,000.00 dengan tujuan untuk menjualnya kepada warga asing dan seterusnya mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda.

8. PAS Melaka benar-benar berharap agar kepentingan rakyat tempatan harus didahulukan dalam segala urusan khususnya yang melibatkan soal keperluan asas seperti tempat tinggal, contohnya.

Sekian, terima kasih

“Islam Memimpin Perpaduan”

Hj Rafie Bin Ahmad
Ketua Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan
PAS Negeri Melaka