Home Berita PAS Perlis

Pelihara Tarbiyah, Tetaplah Bersama Jamaah

1191
SHARE

Oleh : Nur ‘Iffah

KANGAR : Keberkesanan tarbiyah bergantung kepada sejauh mana kefahaman dan keyakinan anggota jamaah tentang dasar perjuangan Islam.

Demikianlah dinyatakan oleh Ustaz Idris Hj. Ahmad, Naib Presiden PAS ketika berucap merasmikan penutupan Ijtima’ Tarbawi 6.0 di Kompleks Pendidikan MATIN pada 27 Oktober lalu.

Katanya, tugas setiap pemuda Gerakan Islam adalah untuk mentarbiyah manusia agar mereka memahami Islam hingga mampu melihat keindahan serta keadilan Islam.

Tambah beliau, kerana itulah PAS ditubuhkan dan PAS kekal istiqamah membawa mesej Islam kepada rakyat hingga ke saat ini meskipun para pemimpinnya silih berganti di samping terpaksa berhadapan dengan pelbagai tentangan.

“Dasar PAS adalah Islam, atas dasar inilah yang menjadikan PAS sentiasa segar walaupun pemimpin cabut lari kerana kekuatan kita memimpin manusia adalah dengan Islam bukan dengan pemimpin.

“Setiap perhimpunan dan ijtima yang kita anjurkan hanyalah satu peratus dari perjuangan dan baki 99% itu adalah tugas tuan-tuan untuk bergerak dan menyebarkan kefahaman Islam kepada orang ramai dan masyarakat setempat,” katanya dalam nada tegas.

Beliau turut menekankan peri pentingnya setiap ahli PAS memahami serta melaksanakan 10 unsur tarbiyah yang terdiri dari dasar, manhaj, qiyadah, bimbingan murabbi, biah solehah, husnu watsiqah billah (bersangka baik dan yakin kepada Allah), tautan ukhuwah, taat, sabar dan kesungguhan.

Turut disentuh tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh seluruh ahli parti iaitu bekerja bersungguh-sungguh serta tetap istiqamah bersama-sama dengan PAS dalam memperjuangkan Islam.

“Perjalanan panjang ini memerlukan kesungguhan dalam diri kita agar dapat meneruskan perjalanan.

“Kita boleh lihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh Dato’ Tuan Guru Mursyidul Am, (beliau) antara orang lama yang tetap istiqamah walaupun jauh perjalanan yang telah ditempuhi, hingga kini masih mampu menunjukkan semangat perjuangannya.”

“Kegigihan beliau bermakna kita juga mesti berusaha sedaya upaya menjadi murabbi dan tempat rujukan oleh para pemuda di dalam kawsan atau pun cawangan,” katanya.