Home Berita PAS Terengganu

Pelihara seni khat selari hasrat Kerajaan Terengganu

32
SHARE

KUALA TERENGGANU – Usaha memartabatkan kesenian Islam melalui Festival Kaligrafi Islam adalah selari dengan hasrat kerajaan Terengganu yang serius memastikan negeri ini mencapai kemajuan mengikut acuan Islam dari pelbagai sudut.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata adalah menjadi matlamat bagi memelihara kesenian Islam itu dan mendorong minat generasi muda hari ini mempelajari warisan khat melalui penganjuran program yang diadakan.

“Sebenarnya memupuk minat generasi muda terhadap seni khat ini terutama daripada kalangan pelajar ini merupakkan suatu kebanggaan kita. Kerana mereka ini bakal meneruskan kecemerlangan Tamadun Islam, yang boleh kita panggil (istilahkan) bangkit kembali di Terengganu.

“Seiring dengan tema kerajaan negeri itu sendiri dan juga dengan seni budaya jawi yang juga menjadi lambang tamadun Terengganu dengan penemuan batu bersurat dan sebagainya kita harap ia dapat diteruskan.

“Kerana penuliasan al-Quran itu sendiri dengan nilai seni tersendiri menunjukkan banyak sumber-sumber yang mengambarkan tamadun warisan Islam yang tinggi untuk diterus serta diperkayakan pada masa-masa akan datang dengan melahirkan semula tokoh-tokoh khat yang dahulunya agak terkenal di negeri ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas hadir menyempurnakan perasmian penutupan Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Satiful merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Islam  Terengganu dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JAPINT) atas kejayaan menganjurkan acara berprestij itu yang disertai oleh 250 perserta dari seluruh Malaysia.

“Tahniah kerana berjaya mengamit kehadiran peserta yang secara keseluruhan memenuhi segenap ruang malah peserta dari luar Terengganu pun turut hadir bagi sama-sama memeriahkan festival pada kali ini,” ucap beliau.