Home Berita PAS Terengganu

Rakyat resah gelisah kos sara hidup kian meningkat

44
SHARE

KUALA TERENGGANU – Rata-rata rakyat di negeri ini meluahkan rasa terbeban dengan kos sara hidup yang kian menghimpit ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Seorang rakyat, Zulfakri Amin Manaf berkata dengan keadaan yang berlaku ini, dia berharap agar kerajaan negeri mencari jalan dan menyediakan inisiatif terbaik bagi memastikan bebanan dapat dikurangkan.

Katanya, kerajaan boleh memikirkan alternatif bagi menaikkan ekonomi melalui pelancongan Terengganu.

“Jadi saya mengharapkan belanjawan pada kali ini akan ada pengumuman untuk menaik taraf sektor pelancongan.

“Saya tengok untuk tahun 2024 ini, Alhamdulillah sebab kita menerima pelancong yang ramai jadi ambil kesempatan dengan apa jua cara bagi memastikan ia akan menjana peluang pendapatan untuk orang Terengganu.

“Dari segi binaan bangunan-bangunan atau pasar raya saya rasa tidak perlu kerana orang datang ke Terengganu mereka hendak ‘healing’ lari daripada kesibukan,” ujarnya yang juga merupakan peniaga di Pasar Chabang Tiga di sini.

Sementara itu, Abdullah Ibrahim pula menyuarakan kembimbangan tentang hala tuju Kerajaan Malaysia hari ini apabila dilihat tidak dapat menyelesaikan kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat malah ditambah dengan kenaikan harga barangan.

“Walaupun saya peniaga tetapi saya dapat rasakan yang rakyat sangat tertekan dengan kenaikan harga barang, misalnya saya sendiri yang berniaga santan dahulunya santan hanya dijual dengan harga RM10 sekilogram sekarang terpaksa dijual RM14 bagi sekilogram.

“Bayangkan harga kelapa yang dibeli dari pembekal dahulunya RM2.00 sekarang mencecah RM2. 70 sebiji, keadaan ini sudah tentu membebankan para pembeli,” ujarnya.

Tambahnya, seandainya royalti dapat dikembalikan sudah tentu banyak agenda boleh dirancang dan direncanakan kerajaan negeri bagi memastikan inisiatif yang diberikan berupaya mengurangkan bebanan dihadapi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pasar Chabang Tiga, Marzuki Omar berkata kuasa membeli rakyat yang semakin terbatas kerana himpitan ekonomi dapat dilihat apabila pembeli di pasar itu tidak sebagaimana sebelum ini.

Dalam pada itu seorang anak muda, Mohd Arif Raidi pula mengharapkan agar belanjawan yang akan dibentangkan nanti akan memberi tumpuan dan fokus kepada pembangunan belia dengan memperbanyakkan program serta apa jua aktiviti yang bemanfaat untuk mereka.

“Insya-Allah dengan perhatian dan fokus yang diberikan akan menjadi pendorong untuk kami menjadi modal insna yang baik untuk negeri Terengganu selayaknya sebagai aset yang berperanan menyumbang kemajuan kepada negeri ini secara khusus dan Malaysia secara amnya,” katanya.