Home Artikel PAS Wilayah

Pelepasan konvoi misi bantuan sekolah tahfiz Raub

251
SHARE

Oleh : Maizatul Asida
22 Februari 2021

BATU : Misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir Pahang diteruskan lagi oleh Persatuan Warga Emas Permata Iman bagi fasa kedua.

Misi kali ini bertujuan untuk menghantar sumbangan berupa 500 naskah Al-Quran dan risalah Al-Mathurat serta Yassin kepada Sekolah Tahfiz Raub Pahang.

Terdahulu, sumbangan berbentuk pakaian, makanan serta keperluan asas lain telah disampaikan dalam misi pertama.

Pelepasan konvoi kali ini telah disempurnakan oleh Pengerusi MPP Sub Zon 1 yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Samsudin Yaacob.

“Usaha begini sangat mulia di sisi Allah memandangkan Al-Quran adalah pegangan umat Islam yang paling utama.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam memastikan program wakaf ini berjalan lancar.

“Semoga perjalanan peserta konvoi ini selamat dan dipermudahkan Allah SWT,” ujar beliau semasa majlis pelepasan tersebut.

Dalam majlis berlainan sebelum itu, Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur merangkap Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah Dan Wanita Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Azhar Yahya telah hadir bagi mendengar taklimat tentang program tersebut oleh Pengerusi Persatuan Warga Emas Permata Iman, Che Zan Ahmad.

Program ini turut dijayakan dengan kerjasama NGO Yayasan Restu, Persatuan Penduduk Seri Perak dan Madrasah Al Khairiah.

Doa selamat juga telah dibacakan oleh Imam Madrasah Al Khairiah, Ustaz Raja Halim.