Minda Presiden PAS
[Bil: 78 / 2023]
PELEPASAN DAN PEMBEBASAN TERPILIH MENURUT SYARIAT ISLAM
Banyak undang-undang ciptaan manusia sebenarnya mengambil panduan daripada syariat Islam, hasil daripada pengaruh Islam terhadap pengajian orientalis dan kesempatan mencuri ilmu Islam daripada tamadunnya, di samping mencuri harta benda daripada tanah air umat Islam pada zaman penjajahan. Namun begitu, undang-undang yang datang daripada manusia tidak boleh disamakan dengan syariat Islam yang mempunyai roh berprinsipkan aqidah beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat, serta wawasannya.
Kini, ramai kalangan yang berjenama ilmuwan dalam kalangan umat Islam cuba mengheret syariat Islam supaya dipengaruhi oleh undang-undang ciptaan manusia. Allah SWT telah memberi amaran terhadap perbuatan ini dalam al-Quran:
﴿وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ٥٠﴾
“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mahu menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasiq. (49) Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (50)” [Surah al-Ma’idah: 49-50]
Janganlah sekali-kali terpengaruh dengan undang-undang Barat ciptaan manusia sehingga manyanggah keadilan Allah yang mutlak dan menyeluruh, serta mempunyai perhitungan dosa dan pahala, serta berwawasan akhirat.
Islam berlaku adil walaupun terhadap bukan Islam dan musuh Islam. Apabila kalangan tentera Islam bersikap melampau di medan perang, seperti membunuh golongan yang tidak terlibat dengan peperangan atau merosakkan harta, Rasulullah SAW akan membayar diat (wang dengan jumlah yang dihadkan) dan ganti rugi, walaupun tidak ada mahkamah antarabangsa yang membicarakannya.
Hal ini demikian kerana, Baginda berpandukan dalil daripada banyak ayat Allah yang diturunkan, antaranya firman Allah SWT:
﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Bandingkan keadilan kerajaan Islam pada zaman Rasulullah SAW dengan negara-negara besar yang melakukan jenayah perang pada zaman ini.
Sesungguhnya terdapat perbezaan yang jelas antara hak Allah dan hak manusia. Pengampunan hanya boleh diberikan oleh manusia dalam kes yang melibatkan hak manusia sahaja oleh mangsa, seperti jenayah kecederaan. Tidak ada pengampunan dalam perkara yang melibatkan hak Allah, seperti mencuri, berzina, meliwat, meminum arak dan benda-benda yang merosakkan akal, termasuklah kes dadah.
Rasululah SAW murka terhadap syafaat yang diminta oleh Usamah bin Zaid RA terhadap seorang bangsawan yang mencuri, sebagaimana sabda Baginda:
إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَايْمُ اللَّهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا.
“Sesungguhnya, dibinasakan umat pada zaman dahulu daripada kamu; apabila seorang bangsawan mencuri, maka dia dibebaskan; dan apabila seorang yang lemah mencuri, maka dia dijatuhkan hukuman. Demi Allah! Sekiranya Fatimah binti Muhammad (anak kesayanganku) mencuri, nescaya aku akan jatuhkan hukuman agar dipotong tangannya.” [Muttafaq ‘Alayh: al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, No. 3475 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Hudud, No. 1688, daripada ‘Aisyah]
Sila bandingkan kaedah DNAA (discharge not amounting to acquittal) yang tidak terpakai terhadap pencuri tabung masjid yang dihukum penjara kerana mencuri tabung masjid sebanyak RM22. Kenapa tidak dipastikan adakah dia mencuri kerana kelaparan atau ada apa-apa sebab yang lain?
Sebaliknya, DNAA dilaksanakan dalam tuduhan rasuah yang melibatkan angka ratusan juta ringgit terhadap seorang bangsawan yang sedang menghadapi perjalanan perbicaraan yang belum selesai. Adakah tidak ada rasa malu apabila melakukan perbuatan itu? Malangnya, ramai pula yang berilmu mempertahankan tindakan itu kerana ingin mengampu.
Perkara ini bukan sahaja tertakluk dalam undang-undang dalam negeri, bahkan dalam undang-undang antarabangsa. Ada perkara yang berkait dengan hak manusia dan ada perkara yang berkait dengan hak Allah yang tertakluk bawah hak umum, sama ada jenayah dan lain-lain. Di samping itu, harus juga diambil kira aspek Maqasid al-Syari‘ah dan Siyasah Syar‘iyyah yang tidak wujud dalam undang-undang ciptaan manusia.
Saya membaca dalam media Indonesia berkenaan cerita seorang ibu tua mencuri ubi di pasar, lalu ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Hakim yang bijaksana telah menjatuhkan hukuman bayaran denda dan meminta semua yang hadir di mahkamah berderma kepada tertuduh, termasuk hakim. Hal ini demikian kerana, mereka dianggap bersalah kerana membiarkan wanita itu mencuri.
Oleh sebab itu, Allah SWT mewajibkan orang-orang yang beriman agar beristiqamah dalam menegakkan keadilan terhadap seluruh manusia. Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Maka, aspek DNAA terpilih, apatah lagi melibatkan campur tangan terhadap kalangan bangsawan dan pemerintah, yang diberikan pelepasan atau pembebasan, tidak boleh disamakan dengan kaedah-kaedah dan peruntukan yang ada dalam syariat Islam yang berwawasan akhirat dan menyerlahkan keadilan tanpa mengira darjat.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Safar 1445 / 15 September 2023