Home Kenyataan Media PAS Wilayah

SELAMAT HARI MALAYSIA – 16 SEPTEMBER 2023

29
SHARE

Sejak tahun 1963, kita telah mula menyambut Hari Malaysia sempena pembentukan Malaysia melibatkan penggabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Sedar atau tidak, sudah 60 tahun negara tercinta kita, Malaysia terbentuk, walaupun Semenanjung dan Borneo ini dipisahkan dengan Laut China Selatan.

Kita dianjurkan untuk menanamkan rasa cinta akan negara berpandukan hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud,

“Aku tidak temui negeri yang lebih baik dari engkau (wahai Mekah), dan tidak ada negeri yang lebih aku sayangi dari Mekah. Kalaulah bukan kerana kaummu (iaitu Quraysh) telah menghalauku, aku tidak akan tinggalkan negeri ini.”(HR al-Tirmizi)

Jelas kepada kita bahawa Rasulullah menyatakan rasa cinta dan sayang terhadap negeri kelahiran baginda iaitu, Mekah. Setelah berhijrah dan menubuhkan negara Islam Madinah, baginda telah mempersaudarakan golongan Muhajirin (Mekah) dan Ansar (Madinah) yang terdri daripada pelbagai suku dan puak, bertepatan dengan penggabungan Tanah Melayu serta Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia.

Sebuah negara akan terbentuk dengan adanya rakyat daripada pelbagai kaum dan bangsa, walaupun berbeza cara, adat budaya dan gaya bahasa, kita semua tetap menjadi rakyat Malaysia.

Justeru, sempena sambutan Hari Malaysia ini, marilah sama-sama kita saling mengukuhkan perpaduan yang telah terbina hampir 60 tahun. Peliharalah keamanan dan kesejahteraan negara Malaysia ini dengan sebaiknya agar seluruh rakyat dapat merasai nikmat perpaduan.

Selamat Hari Malaysia.

Siiruu ‘ala barakatillah.

 

Ustaz Azhar bin Yahya

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan

16 September 2023