Jaudin M Amin – 27 Ogos 2022
PARIT BUNTAR – Ribuan pengunjung membanjiri perkarangan Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Hasanah, Titi Serong, dekat sini sejak semalam sempena program Karnival Milenia Sejahtera 2022.
Seawal 7.45 pagi, 150 peserta menyertai Kayuhan Ambang Merdeka bermula di lokasi pogram menuju ke Pantai Ban Pecah dengan jarak 35 kilometer.
Pelbagai aktiviti diatur oleh penganjur untuk segenap lapisan umur seperti acara merentas desa yang melibatkan pelajar berusia 10 hingga 12 tahun.
Seramai 216 peserta mengambil bahagian melibatkan enam kategori acara dengan jarak larian sejauh 4 kilometer.
Pertandingan mewarna turut mendapat sambutan hangat dari kalangan pelajar di mana seramai 202 peserta berusia empat hingga sembilan tahun mengambil bahagian melibatkan empat kategori pertandingan.
Selain rawatan bekam dan rukyah, pengunjung program juga berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan oleh Klinik Kesihatan Kuala Gula.
Rawatan kesihatan percuma turut disediakan oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) cawangan Perak.
Karnival turut dimeriahkan dengan permainan istana belon, pertandingan e-sukan, Hawa Explorace anjuran Ameerah Parit Buntar dan hadirin berpeluang menguji kemahiran dalam acara memanah.
Lebih 30 gerai jualan turut memeriahkan suasana sepanjang program kali ini. Gerai Jualan Keluarga Malaysia anjuran Koperasi Anak Tani Kerian yang menawarkan potongan harga sehingga 20% mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung.
Pengunjung turut menikmati jamuan makan tengahari yang disediakan penganjur disamping berpeluang memenangi cabutan bertuah seperti hamper, baju-T dan sebagainya.
Semalam, lebih 2,000 hadirin membanjiri tapak karnival sempena program “Kerian Berselawat” yang menampilkan kumpulan qasidah dan selebriti nasyid Awla yang merupakan gabungan anggota kumpulan Saujana dan NowSeeHeart.