Home Berita PAS Perak

Pelantikan Muhyiddin Pengerusi MPN, wajar

139
SHARE

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) merupakan kayu ukur kejayaannya mengurus pandemik Covid-19 sebelum ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, pelantikan Ahli Parlimen Pagoh itu bagi memimpin MPN adalah keputusan yang sangat wajar.

“Rasa lega kerana memperlihatkan Dato’ Sri Ismail Sabri menghormati bekas Perdana menteri sebagai orang yang telah merancang dan memulakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“PPN yang telah dirancang semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri telah mula membuahkan hasilnya dan selayaknya beliau diberi kepercayaan untuk menjadi pengerusinya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Menurut beliau, pelantikan Muhyiddin itu sebagai Pengerusi MPN juga menepati konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diuar-uarkan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Ini kerana katanya, pelan yang dirancang bersifat jangka pendek dan panjang itu memerlukan masa serta komitmen semua pihak bagi merealisasikan kejayaannya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Beliau berkata, pelantikan berkenaan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Dalam reaksi segera, Muhyiddin menyatakan beliau sedia menjalankan tugas secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

Katanya, beliau dan anggota MPN akan membantu Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya membawa Malaysia melalui fasa pemulihan seperti digariskan dalam PPN. –

SUMBER : HARAKAHDAILY 6/9/2021