Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor
Dengan meningkatnya angka penduduk Malaysia dewasa yang telah lengkap divaksinasi iaitu mencecah 86%, Malaysia dijangka mencapai status imuniti kelompok jauh lebih awal di bulan Oktober ini apabila kadar itu melebihi 90%.
Banyaklah perubahan yang akan dirasai nanti termasuklah kebenaran merentas negeri diikuti ke luar negara. Yang pentingnya rakyat akan kembali merasai kehidupan sebagaimana dahulu cumanya kali ini dengan beberapa norma baru apabila wabak Covid 19 ini mencapai status endemik.
Kemajuan ini menandakan kejayaan Pelan Pemulihan Negara, dan sudah pasti rakyat akan bertambah yakin dan percaya pada kemampuan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakub. Ekonomi akan beransur pulih dan rakyat akan dapat menjalankan aktiviti mereka seperti biasa, inilah yang ditunggu-tunggu semua setelah sekian lama kehidupan kita tertekan bahana pandemik ini.
Namun segala-galanya tidak bermakna kiranya politik negara tidak stabil, kerana ia akan mengerhanai segala kejayaan dan merencatkan segala pencapaian. Ini sudah pasti akan menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Kunci kestabilan politik di Malaysia sesungguhnya terletak pada kedudukan kuasa politik umat Melayu Bumiputera Islam iaitu penduduk majoriti dalam negara. Kiranya kelompok politik yang mewakili golongan majoriti ini bercerai-berai dan berpecah-belah sesama mereka, maka kekuatan politik mereka akan terhakis sebagaimana berlaku pasca PRU 14 apabila kerajaan PH terbina atas pergantungan pada dominasi DAP yang 41 dari 42 ahli Parlimennya terdiri dari golongan bukan Melayu.
Kerana itu jika kunci ini hilang maka tidak menentulah nasib dan masadepan ummah sebagaimana berlaku dalam 22 bulan pemerintahan PH.
Hari ini walaupun PH sudah tidak lagi berkuasa, dan kerajaan didominasi oleh ahli-ahli Parlimen yang mewakili parti-parti umat Melayu Islam namun ketindaktentutan masih terasa. Mengapa, kerana masing-masing masih bersengketa sesama sendiri walaupun duduk dalam satu kerajaan yang sama.
Keadaan ini cukup tidak sihat dan mengusarkan sebahagian besar rakyat jelata bukan hanya dikalangan umat Melayu Islam sahaja. Ianya jika tidak dipulihkan, dibiarkan berlarutan pasti yang akan mengaut laba adalah PH yang masih belum kebah dari demam hilang kuasa lebih setahun lalu. Kita tidak memerlukan ketidakstabilan politik diwaktu ini.
Suka tidak suka, masadepan ummah bergantung kepada keupayaan permuafakatan antara tiga parti Melayu Islam utama dalam negara iaitu Umno, PAS dan PPBM atau Bersatu.
85 kerusi Melayu Islam diwakili oleh ketiga-tiga parti ini dalam PRU ke 14 lalu. Menurut Dr Mazlan Ali dari UTM, kiranya ketiga-tiga parti ini bersatu mereka mampu membolot hampir kesemua 122 kerusi majoriti Melayu iaitu kerusi yang melebih 51% pengundi Melayu dalam negara. 122 sudah lebih dari cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang majoriti mudahnya cuma 112 kerusi.
Jika ditambah dengan kerusi yang bakal disumbangkan oleh rakan-rakan lain ekoran prestasi baik kerajaan hari ini iaitu termasuklah GPS, MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti bersekutu yang lain, tidak mustahil kemenangan dua pertiga iaitu lebih 148 kerusi dapat dicapai.
Kerana itu diambang pemulihan negara ini, sepatutnya permuafakatan politik ummah menjadi semakin kukuh dan meyakinkan, ini akan menjanjikan masadepan yang baik buat semua dengan kerajaan yang kukuh didukung padu oleh rakyat keseluruhannya.
Namun malangnya disaat kita mahu mencatatkan kemenangan inilah parti-parti tunggak tadi memilih untuk menghangatkan lagi sengketa sesama mereka. Presiden Umno mendakwa partinya telah ditikam dari belakang dan lebih baik bersendirian bagi menghadapi PRU ke 15 nanti. Kemudian Presiden Bersatu pula mengisytiharkan yang partinya sanggup bertembung dengan Umno, biar pengundi yang menentukan.
Mengapa perlu begitu? Apa untungnya ummah kiranya kita bersengketa berpanjangan?
Sanggupkah kita melontar diri kembali ke era pemerintahan PH dahulu sedangkan kita diharapkan melindungi umat Melayu Islam dari mengulangi pengalaman itu. Menurut Mazlan lagi dari satu kajian yang beliau buat di bulan Mac lalu rata-rata pengundi Melayu Islam mahukan kerajaan yang stabil yang didominasi umat Melayu Islam. Dan trend ini dijangka terus kekal hingga kini.
Lantas alangkah baiknya semua yang terlibat memberi keutamaan kepada jajaran politik perpaduan ummah yang hampir pasti menjamin nasib dan masadepan yang baik buat agama, bangsa dan negara. Politik cabar-mencabar dan ugut-mengugut hanya akan memuak dan memualkan rakyat terutama para pengundi Melayu Islam. Yang mereka mahukan adalah penyatuan politik ummah bukannya perbalahan dan sengketa secara terbuka. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.
Dalam hal ini PAS lah yang diharapkan dapat memain peranan jika tidak pun menyatukan ketiga-tiga parti dalam satu gabungan sekurang-kurangnya membina satu permuafakatan dimana masing-masing berkerjasama memberi tumpuan kepada pertandingan satu lawan satu menghadapi PH dalam PRU ke 15 nanti. PAS perlu jadi pendamai.
Yang pastinya ketiga-tiga parti berkongsi akidah yang sama, ketiga-tiga parti menolak PH yang didominasi DAP. Jadikanlah persamaan ini sebagai kekuatan untuk mengikis keluar PH dari arus perdana politik negara. Hari ini ketiga-tiga parti duduk dalam kerajaan yang sama yang diterajui PM dari Umno, bergeraklah bersama dari situ, meraikan kehendak dan kemahuan ummah sehingga terus diterima dan kekal memerintah sampai bila-bila.
Apa sahaja perbezaan yang ada duduk, berbincang dan bermuafakatlah. Sesungguhnya umat Melayu Islam punya adab dan tradisi yang kaya dan berhemah, gunakanlah ia sebaik mungkin demi melakarkan sejarah kegemilangan baru.
Kerajaan Keluarga Malaysia ini perlu dipertahankan kerana ia sebagai bukti kemampuan sebuah kerajaan Melayu Islam, kesejahteraan dan keadilan mampu dikecapi semua masyarakat berbilang kaum dan agama kerana itulah ajaran agama dan tradisi nenek moyang kita, iaitu berkongsi bersama segala yang baik dan menjauhi segala yang zalim dan membinasakan.
Segala kajian dan angka menunjukkan yang kesepaduan dan permuafakatan parti-parti politik Melayu Islam khasnya Umno, PAS dan Bersatu akan membawa kemenangan yang besar dalam PRU ke 15. Mengapa perlu kita menongkah arus dan mencari jalan keluar yang lain?
Kerajaan Keluarga Malaysia ini adalah gagasan baru yang perlukan kepimpinan politik yang matang dan berpandangan jauh. Kita bukan lagi di zaman 80an atau 90an tetapi sudah melangkah ke 2021 yang memerlukan pertimbangan baru dan jajaran politik yang bersesuaian dengan kehendak dan kemahuan rakyat.
Rakyat mahu dipimpin oleh kekuatan politik yang diwakili oleh penyatuan kuasa politik ummah, lalu bersamalah dengan penuh insaf dan sedar kita menyambut kehendak itu dan berkerja ke arahnya.
6 Oktober 2021 | 29 Safar 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
#PASSelangor
#KitaJagaKita
#IslamTolakFitnah
#IslamMemperkukuhPerpaduan