Home Berita PAS Pahang

Pelajar PASTI Kuantan terima sijil penghargaan

443
SHARE

 

Oleh : FARIDAH KAMARUDDIN

KUANTAN, 6 Feb – Seramai lebih 1,300 orang pelajar dari 18 buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Kuantan menerima sijil penghargaan dalam Majlis Anugerah Prestasi (MAP) 2023 PASTI secara berasingan mengikut ketetapan masing-masing.

MAP PASTI As-Saadah Kuantan telah diadakan di salah sebuah dewan Kampung Razali disini kelmarin, dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang juga sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Lumpur.

“Saya yakin ibu bapa yang menghantar anak-anak ke PASTI adalah ibu bapa yang mempunyai kesedaran dan harapan yang tinggi supaya anak-anak mereka terdidik menjadi anak-anak yang soleh, pintar dan berakhlak mulia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua ibu bapa dan penjaga di atas kepercayaan kalian kepada kami, sehingga ada di antara warga bukan Islam juga telah menghantar anak-anak mereka untuk dididik di PASTI,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi PASTI Kawasan Kuantan, Habibullah Yusof dalam ucapan aluannya berkata, penubuhan PASTI adalah untuk melahirkan kanak-kanak soleh pintar Malaysia melalui Sistem Pendidikan yang berteraskan Islam.

Beliau juga melahirkan rasa penghargaan kepada semua guru yang telah bertungkus lumus mendidik anak-anak PASTI.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada Tokoh Pelajar Terbaik PASTI As-Saadah, Aifa Nawraa Mohd Afiq.

Turut hadir adalah Pengurus PASTI Kampung Razali, Ismail Ahmad Gundal, wakil Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuantan, Siti Fatimah Zahra Deraman serta ibu bapa pelajar PASTI sendiri.