Home Berita PAS Pahang

Pelajar MTIS antara peserta Majlis Tilawah & Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 2024

681
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

KUANTAN, 24 Mei – Pelajar Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS), Temerloh, Wafa Al-Hana Ahmad Fahizmie 15, antara peserta yang bakal mempersembahkan bacaan hafazan pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 1445 H/2024, bermula hari ini.

Dalam sesi undian pada majlis taklimat kepada para peserta yang berlangsung di sebuah hotel pada Rabu 22 Mei lalu, beliau yang bakal bertanding bagi kategori (1 – 10 Juzuk) akan memperdengarkan bacaannya pada pagi Isnin, 27 Mei 2024.

Beliau telah menjalani latihan hafazan dan taranum selama lebih kurang tiga minggu di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang bertempat di Maahad Tahfiz Negeri Pahang sebagai persediaan mewakili negeri Pahang bagi ketegori tersebut.

Pada Majlis Menghafaz al-Quran peringkat negeri Pahang Disember lepas, anak sulung daripada lapan beradik itu meraih markah sebanyak 90.55 sekali gus dinobatkan sebagai Johan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 berserta sijil dan plak.

Kejayaan itu telah melayakkan anak kepada Imam Dua Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong ini mewakili Pahang bertanding ke peringkat kebangsaan yang mana pada tahun ini tuan rumah merupakan negeri yang diwakilinya.

“Saya amat berharap dapat mempersembahkan bacaan hafazan dengan baik. Mohon doakan saya diberikan ketenangan, kesihatan dan dipermudahkan segala urusan dalam majlis itu nanti,” ujarnya kepada mudir Maahad Tahfiz Istiqamah, Ustaz Zarimi Abu Zih ketika menziarahi beliau baru-baru ini.

Pihak Jabatan Agama Islam Pahang turut mengalu-alukan kehadiran Muslimin dan Muslimat menyaksikan majlis tilawah dan hafazan Al-Quran secara percuma bertempat di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan.

Selain itu warga maya turut berpeluang menyaksikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan disiarkan secara langsung di Facebook Jabatan Agama Islam, TV Al-Hijrah dan RTM 1 bermula 23-28 Mei 2024 bermula jam 9:00 Pagi – 11:00 malam.