Home Berita PAS Terengganu

Pelajar Imtiaz Raih Anugerah Emas di Universiti Vietnam

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pelajar sekolah menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut berjaya meraih pingat emas kategori Anugerah Inovasi sempena Anugerah Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa (ICIA) 2025 yang berlangsung di University of Economics Ho Chi Minh City, Vietnam, baru-baru ini.

Kemenangan tersebut diperoleh menerusi inovasi platform pembelajaran interaktif i-Tasheel Arabic Innovation (i-TAR), hasil usaha pelajar Muhammad Hafizin Fahmi Mohd Hamdan, Ahmad Wajdan Mohd Shafiee dan Nik Muhammad Aqil Syauqi Nik Abdul Halim.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berbamgga atas kejayaan mereka yang secara tidak langsung membawa nama Terengganu ke peringkat antarabangsa.

“Pencapaian cemerlang yang membanggakan ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap keupayaan intelektual dan daya inovasi generasi muda Terengganu.

“Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak pelajar yang lain serta kebanggaan seluruh warga Negeri Terengganu.

“Teruskan mengorak kejayaan dan pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang. Syabas,” ucapnya dalam satu hantaran yang telah dimuatnaik melalui laman sosial media rasminya, sebentar tadi.

Guru pembimbing pelajar-pelajar tersebut, Muhammad Badruzzaman Hassan berkata,
i-TAR merupakan projek perintis yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang menguasai bahasa al-Quran, iaitu bahasa Arab (Quranik).

“Melalui i-TAR, pelajar dapat memperoleh pengetahuan yang mendalam (Ensiklopedik) dalam mengenal pasti tanda-tanda i’rab dan seterusnya menganalisis (Ijtihadik) baris akhir perkataan dalam al-Quran.

“persembahan i-TAR yang menyusun kandungan utama daripada buku teks ke dalam bentuk jadual dan animasi membantu meningkatkan kefahaman serta minat pelajar dalam mempelajari tatabahasa Arab (nahu),” katanya kepada sebuah akhbar tempatan, dua hari yang lepas.

Tambah Badruzzaman, pasukan di bawah bimbingannya itu turut telah tersenarai dalam ‘Top 10 Quality Education Challenge’ anjuran Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO).