Home Berita PAS Terengganu

Pelajar cemerlang STAM dedikasi kejayaan kepada keluarga, guru

1068
SHARE

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 18 Jun – Satu-satunya pelajar Terengganu yang memperoleh 10 Mumtaz dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Nur Aina Mutmainnah Mohd Hanifuddin mendedikasikan kejayaannya kepada keluarga dan guru-guru.

Nur Aina, 20, berkata, ibu bapa serta guru-guru bersusah payah dan bertungkus-lumus menyediakan segala kelengkapan dalam menghadapi peperiksaan STAM memberi kesan mendalam kepada dirinya.

Katanya, kesungguhan para pendidik menyediakan nota untuk membantu para pelajar mengikuti silibus baharu dipelajari sukar untuk dibalas dengan kata-kata.

“Semua subjek menggunakan silibus baru, jadi untuk membantu kami lebih faham, guru-guru bertungkus-lumus menyediakan nota-nota untuk rujukan kami, sebab nota lama tidak boleh digunakan.

“Memang terkesan dengan silibus baru tambahan lagi belajar secara ‘online’, tetapi itu tidak mematahkan semangat untuk berjaya apatah lagi guru-guru bersungguh-sungguh membantu kami,” ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Nur Aina yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu, Padang Midin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ustaz Mohd Hazri Che Muda yang mengajar subjek Mantiq, Ustaz Farezuan Mat Azahar, guru penyelaran STAM dan Ustazah Nurul Hidayah Ahmad Zakhi, guru Al-Quran dan guru lain dimana banyak memberi nasihat dan semangat.

Mengulas mengenai kecemerlangan yang dicapai itu, Nur Aina berkata antara kunci kejayaanya adalah dia tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dengan rakan sekelas.

“Saya suka mengadakan kelas tambahan untuk membantu mereka lebih memahami subjek yang sukar difahami, itulah perkara yang menguatkan ingatan dalam satu-satu subjek.

“Kawan-kawan sekelas saya yang kadang kala buntu untuk mengikuti sesetengah subjek memandangkan ia sesuatu yang baru, saya bantu mana yang mampu, alhamdulillah kawan-kawan saya berjaya semuanya,” jelas pelajar yang menetap di Kampung Balai Besar itu.

Beliau yang telah dua kali khatam menghafaz al-Quran 30 juzuk berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan al-Quran dan Sunnah (Qiraat) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“Nasihat saya kepada semua pelajar sentiasa belajar, jangan tunggu ‘last’ minit sebab kita akan tidak mampu nak ‘study’ semua dengan banyak subjek yang perlu ditumpukan.

” Sentiasa bersolat sunat, solat dhuha jangan tinggal begitu juga solat hajat dan sentiasa berdoa agar Allah SWT kurniakan ketenangan dan dipermudahkan belajar ilmu baharu,” jelas anak ketiga kepada sepasang guru, Mohd Hanifuddin Salleh, 55 dan Norhayati Mat Bidin, 55.