IPOH, 11 Ogos — Buat kali kedua, rakyat Malaysia bakal menyambut bulan kemerdekaan dan Hari Kebangsaan dalam suasana negara dicengkam pandemik COVID-19.
Oleh itu, jelas Menteri Besar, YAB Dato’ Saarani Mohamad, pelbagai program telah dirancang kerajaan negeri bagi menyemarakkan sambutan tahun ini bertujuan menanam semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
“Saya menyeru kepada seluruh lapisan rakyat untuk kita sama-sama membangkitkan semangat patriotisme sebagai tanda solidariti dalam melawan musuh tidak kelihatan ini.
“Setiap tahun apabila menjelang sambutan Hari Kebangsaan, ia menyedarkan kita semula tentang pentingnya semangat patriotisme dan cinta kepada negara.
“Penerapan semangat patriotisme bukan sahaja menjadi ciri penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang merdeka tetapi juga mampu membina kerukunan jitu rakyat bagi menghadapi ancaman,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Bangunan Darul Ridzuan di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Penasihat Undang-undang Negeri, YB Azmir Shah Zainal Abidin, Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Zulazlan Abu Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kommunikasi dan Multimedia, YB Khairul Shahril Mohamed serta Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengarah Penerangan Negeri Perak, Mohd Taib Ubah.
Dato’ Saarani turut menyeru rakyat Perak untuk menyertai pelbagai program dan pertandingan yang diadakan sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.
Antaranya termasuk Kempen Kibar Jalur Gemilang, Program Bicara kemerdekaan atas talian, Info on Wheels Merdeka, Pertandingan Pidato Hari Kebangsaan, Kahoot-Kuiz Online, Bintang Patriotik Smule, Teka Silang Kata Online, Selebriti dan Kuiz Kemerdekaan PerakFM.
“Sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini khususnya di Negeri Perak beberapa pengisian telah dirancang dan saya turut mengalu-alukan penyertaan semua,” ujarnya.
Bagi maklumat dan sebaran aktiviti boleh layari Facebook Jabatan Penerangan Negeri Perak dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Bermula 1 Ogos, lebih 10,000 Jalur Gemilang telah diedarkan secara serentak di seluruhh Perak sempena Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2021.
SUMBER:Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]