Oleh: Ummu Nidhal
TELUK INTAN, 18 Julai: PASTI kawasan Teluk Intan muncul juara bagi acara bola jaring apabila mengalahkan PASTI kawasan Lumut dengan jaringan 9:5.
Perlawanan bersempena Sukan Bola Sepak Bola Jaring (BSBJ) anjuran PASTI Perak peringkat zon 3 ini telah berlangsung Sabtu lepas bertempat di Padang Awam Seri Iskandar.
Pengerusi PASTI Teluk Intan Ahmad Aiman Tarmizi menyifatkan kejayaan ini adalah usaha gigih guru-guru PASTI Teluk Intan yang telah melatih murid-murid bermain hingga mereka mampu berlawan dengan baik.
“Acara sukan sebegini perlu disertai murid-murid bagi mendedahkan mereka kepada aktiviti riadah yang sihat dan memupuk semangat kesukanan disamping mencergaskan akal serta meningkatkan ketangkasan fizikal” ujar beliau lagi.
Pada hari tersebut, PASTI Teluk Intan turut menghantar wakil ke acara bola sepak namun kandas di peringkat kumpulan.
Keputusan perlawanan bagi acara bola jaring peringkat zon 3 mencatatkan johan diungguli oleh PASTI Teluk Intan, naib johan disandang oleh PASTI Lumut dan tempat ke tiga diperolehi oleh PASTI Pasir Salak.
Ekoran daripada itu, pasukan bola jaring PASTI Teluk Intan layak bertanding ke peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung pada 31 Julai nanti di Padang Astaka Setiawan.