Home Artikel PAS Sabah

PASTI Sandakan anjur Hari Anugerah Kecemerlangan kali ke 29.

156 views
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis
18 November 2018.

SANDAKAN : PASTI Zon Sandakan yang melibatkan PASTI dari bahagian Sandakan termasuk Kinabatangan, Beluran dan Telupid telah mengadakan Hari Anugerah Kecemerlangannya yang ke 29 hari ini.

Majlis gilang gemilang yang dilaksanakan di Dewan Masjid Daerah Sandakan itu diadakan bagi memberi penghargaan kepada murid-murid dan warga PASTI yang mencapai kejayaan sepanjang sesi persekolahan 2018.

Disamping menghimpunkan kira-kira 450 orang murid graduan 6 tahun yang tamat belajar dari 20 buah PASTI, majlis ini turut memberi penganugerahan kepada murid-murid cemerlang bagi kategori 5 tahun dan 6 tahun.

Selain itu, Muhammad Irfan Fahmi Bin Abdul Haris, murid PASTI Saidina Hamzah dan Nadhirah Husna Binti Irwanto, murid PASTI Zaid Bin Harithah masing-masing telah dianugerahkan sebagai Murid Terbaik PASTI Zon Sandakan bagi kategori 6 tahun dan 5 tahun.

Berucap merasmikan majlis, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid telah memuji pencapaian yang diraih oleh PASTI apabila berkembang pesat bermula tahun 1989 hingga kini dengan jumlah 20 buah PASTI yang ada.

Sahar turut menyatakan bahawa antara peranan PASTI ialah memberi pendidikan awal kepada masyarakat agar tidak terjerumus dengan perkara yang terpesong dari Islam seperti LGBT, fahaman sekular, liberal dan lain-lain.

Beliau turut menyatakan kebimbangan tentang pola pemikiran masyarakat hari ini yang semakin jauh daripada Islam justeru PAS melalui PASTI serta organisasi PAS yang lain tampil memberi resolusi khususnya dalam urusan pendidikan pra sekolah.

Disamping itu, anugerah-anugerah lain yang diberikan dalam majlis yang penuh warna warni itu ialah Anugerah Khidmat Bakti, Anugerah Khas JIBG, Anugerah Ibu Bapa Prihatin dan Anugerah Alumni Cemerlang PASTI.