Home Artikel PAS Perlis

Adilah Abdullah Tokoh Guru PASTI Perlis 2018

142 views
SHARE

Oleh : Nur ‘Iffah

ARAU : Hari Anugerah Kualiti Dan Kecemerlangan PASTI Negeri Perlis telah berlangsung semalam bertempat di Dewan Kuliah Utama Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra, Arau.

Seramai 300 orang hadir dalam majlis yang berlangsung dalam suasana gilang-gemilang itu.

Majlis perasmian disempurnakan  oleh Ustaz Azmir Azizan, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis.

Hadir sama, barisan exco Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis serta Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PASTI Negeri Perlis.

Dalam ucapannya, Ustaz Azmir memetik dua ayat Al-Quran dari Surah Al-Luqman ayat 13 dan 17 yang berkisah tentang pendidikan anak-anak bermula dari sistem pentarbiyahan (pengajaran) dari ibu bapa.


Menurutnya lagi, silibus PASTI bukan sekadar memfokuskan kepada pembelajaran subjek-subjek yang terkandung di dalamnya malah mengajak anak-anak untuk mengenal Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Justeru katanya, tidak hairanlah apabila sistem pendidikan yang digunapakai oleh PASTI mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak kerana kemampuannya dalam melahirkan modal insan yang pintar serta bersahsiah tinggi.

“Marilah kita imbas semula lipatan sejarah bagaimana pentingnya pembangunan modal insan sebelum membina negara, sebagaimana Sultan Abdul Rahman Muawiyah Ad-Dakhil yang telah dibentuk peribadi dan kefahaman Islamnya yang jitu telah berjaya membina Masjid Cordova seawal usia 19 tahun,” ujarnya.

Adilah binti Abdullah telah dipilih menerima Anugerah Tokoh Guru PASTI Negeri Perlis 2018 manakala Anugerah Tokoh Murid PASTI Negeri Perlis 2018 menjadi milik Mohd. Faris bin Reduan, pelajar Pasti Al-Furqan, Taman Pauh Indah.

Sementara itu, MGP Kawasan Kangar telah terpilih menerima Anugerah KPI MGP Kawasan Terbaik 2018 manakala Anugerah KPI PASTI Kawasan Terbaik 2018 sekali lagi menjadi milik PASTI Kawasan Arau.