Home Artikel PAS Sabah

PASTI Sandakan adakan Majlis Solat Hajat Pembelian Bangunan

369
SHARE

Oleh : Susilah Charles
24 November 2019

SANDAKAN : Dalam misi merealisasikan hasrat untuk membeli bangunan pentadbiran PASTI Kawasan Sandakan, satu majlis solat hajat telah diadakan pada Khamis lepas di premis tersebut di Bandar Labuk Jaya.

Majlis yang dimulai dengan solat Isyak berjemaah dan diteruskan dengan solat hajat dan bacaan yasin itu telah dihadiri oleh pimpinan PAS, warga PASTI Sandakan serta ahli jawatankuasa Jemaah Ibu Bapa dan Guru PASTI cawangan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid yang hadir dalam majlis tersebut berucap menceritakan serba sedikit perjalanan PASTI Sandakan daripada masa penubuhannya sehingga kini.

“PASTI Sandakan yang kini sudah menjangkau 30 tahun usianya sudah melalui pelbagai liku perjalanan sama ada yang pahit mahupun yang manis sejak penubuhannya sekitar hujung 80an dahulu,” jelas Sahar.

Tambahnya, usaha pembelian bangunan pentadbiran yang dibuat ini menunjukkan komitmen PASTI Sandakan untuk menjadikan pusat pendidikan ini sebagai pilihan utama ibu bapa di daerah Sandakan.

Terdahulu, Pengerusi PASTI Sandakan, Heriyanto Ladati dalam ucapannya menjelaskan kepada hadirin yang hadir tentang perbelanjaan yang hampir menelan RM1.2 juta ini perlu mendapat sokongan daripada semua pihak.

Katanya, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam PASTI Kawasan Sandakan, 10016010061688 dan memaklumkannya ke talian 0142805426.

“Misi mendapatkan RM1.2 juta dalam tempoh setahun ini bukanlah perkara yang mudah, tapi dengan adanya bantuan daripada semua pihak, insya Allah ia tidak akan menjadi perkara yang mustahil,” ulas Heriyanto.