Home Artikel PAS Sabah

PASTI Sabah anjur Sambutan Hari Guru hargai jasa pendidik

690
SHARE

Oleh : Nursam Mohammad
25 November 2019

KOTA KINABALU : PASTI Negeri Sabah telah menganjurkan Sambutan Hari Guru bagi menghargai jasa pendidik bagi institusi ini pada Sabtu lalu di TH Hotel dekat sini dalam suasana gilang gemilang.

Sambutan yang melibatkan kira-kira 300 orang guru PASTI dari 18 kawasan di negeri Sabah itu telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Haji Khairil Nizam Khirudin.

Ia turut dihadiri tetamu istimewa iaitu Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Haji Ahmad, Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling, Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Ustaz Zulzaim Hilmi Abidin dan Ketua Guru PASTI Sabah, Wahayu Juremi serta beberapa orang AJK PASTI Sabah.

Dalam ucapan perasmian, Khairil Nizam telah menyampaikan amanat kepada guru-guru PASTI agar berusaha meningkatkan kefahaman Islam untuk kelangsungan perjuangan pendidikan.

“Kefahaman Islam ini amat diperlukan bukan sahaja sebagai alat untuk memahami tuntutan perjuangan PAS malah digunakan dalam pendidikan tarbiyah seperti PASTI ini,” ulasnya.

“Guru-guru perlu menjadi ejen penyatuan ummah, tingkatkan kepakaran, kemahiran insaniah dan kompetensi diri sebagai pendidik kerana ia amat diperlukan bagi menjadi aset bagi menanam kepercayaan ibu bapa kepada PASTI,” tambahnya.

“PASTI adalah program kebajikan pendidikan terbaik yang PAS tawarkan kepada rakyat, justeru guru-guru perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran,” bahasnya lagi.

Sambutan berprestij ini telah menobatkan Sajra Binti Haseng sebagai Guru Cemerlang Negeri Sabah dan PASTI Kawasan Keningau sebagai penerima Anugerah PASTI Kawasan Terbaik Negeri Sabah.

Selain itu, anugerah lain yang turut diberikan ialah Anugerah Guru Paling Lama Berkhidmat, Anugerah Guru Harapan, Anugerah Guru Kreatif Dan Inovatif, Anugerah PASTI Cemerlang dan Anugerah PASTI Harapan.