Home Artikel PAS Perlis

PASTI Perlis Ziarah Guru Menderita Strok

268
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : PASTI  Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Guru PASTI Negeri Perlis dan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis telah menziarahi seorang guru PASTI yang menderita penyakit strok di kediamannya petang semalam.

Wan Rosni Sonan, 68, yang tinggal di Kampung Behor Mali dekat sini telah disahkan menghidap ‘minor stroke’ pada 23 Julai lalu setelah menghidap gejala seperti kebas tangan dan kaki sebelah kanan.

Meskipun sudah mampu berdiri dan berjalan, beliau yang berkhidmat di PASTI Kampung Guar Syed Alwi sejak tahun 1989 turut mengalami masalah kesihatan yang lain seperti kencing manis dan masalah jantung.

Beliau mengakui amat memerlukan sumbangan bagi tujuan menampung kos perubatan selain perbelanjaan harian memandangkan suaminya yang tidak lagi bekerja atas faktor keuzuran selain terpaksa menyara seramai dua orang anak.

Dalam ziarah berkenaan, PASTI Negeri Perlis diwakili pengarahnya Asrul Aimran Abd Jalil telah menyampaikan sedikit sumbangan kepada beliau.

Hadir sama, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DPPNPs, Mohd Aniff Mohammad dan Pengerusi Majlis Guru PASTI Negeri Perlis, Nor Hayati Abd Razak.

Menurut Asrul Aimran, pihaknya sentiasa menjadikan kebajikan guru PASTI sebagai agenda utama demi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan mampu berkhidmat dengan cemerlang.

Beliau juga berharap agar orang ramai dapat tampil memberikan sumbangan bagi membantu meringankan beban penderitaan yang dihadapi Wan Rosni.

“Sumbangan berbentuk kewangan bolehlah dimasukkan terus ke akaun Bank Islam (BIMB) milik Wan Rosni bernombor 09010025125505 atas nama Wan Rosni Sonan,” katanya ketika ditemui di sini.