Home Artikel PAS Wilayah

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Rasmi PASTI Ke-7 di Kawasan Putrajaya

243 views
SHARE

Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan Rasmi Pasti Ke-7 Di Kawasan Putrajaya

Putrajaya, 30 Julai 2019: Hari bersejarah buat PASTI Putra Amilin yang terletak di Presint 18, merupakan cawangan PASTI ke 7 di Putrajaya dan ia telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Haji Azhar bin Yahya.

Majlis dimulakan dengan solat hajat dan doa selamat bagi memohon keselamatan dan kelancaran operasi PASTI seharian. PASTI Putra Amilin merupakan PASTI cawangan Putrajaya yang telah mula beroperasi pada Januari 2019 menempatkan kira-kira 70 Orang pelajar.

Permintaan yang amat menggalakkan di kalangan penduduk tempatan, majoritinya penjawat awam, telah membawa kepada penubuhan PASTI Putra Amilin.

PASTI atau Pusat Asuhan Tunas Islam merupakan program yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS dengan matlamat utama untuk memberikan khidmat berkebajikan dalam bentuk pendidikan awal kanak-kanak dalam kadar kemampuan peringkat masyarakat serta menekankan asas pendidikan Islam yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Selain PASTI Putra Amilin, Dewan Pemuda PAS Kawasan Putrajaya juga telah mendaftarkan 6 buah PASTI sebelumnya iaitu PASTI Anak Soleh, Putra Musleh dan Putra Rabbani di Presint 8, PASTI Putra Falah dan Putra Ikhwan di Presint 15, manakala PASTI Saujana Hijau di Presint 11 dikendalikan oleh PAS Cawangan Presint 9.

Ustaz Azhar dalam ucapannya berharap agar operasi PASTI ini berjalan dengan lancar dan ianya juga dapat menyebar luas pendidikan Islam kepada masyarakat setempat.

Turut hadir bersama Majlis Perasmian ialah Setiausaha PAS Kawasan Putrajaya, Nazzuan bin Rohaidin, Pengerusi PASTI Kawasan Putrajaya, Abdul Azim bin Abu Ziden dan Ketua Cawangan PAS Presint 18, Mohd Ali bin Sulaiman.