Home Berita PAS Perlis

PASTI Perlis sambut Maulidur Rasul secara maya

64
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 19 Okt: Meskipun diadakan secara maya, sambutan Maulidur Rasul anjuran Jabatan Pendidikan PASTI Negeri Perlis semalam, berlangsung dengan cukup meriah.

Program selama dua jam menerusi aplikasi Zoom itu berjaya menghimpunkan seramai 120 orang peserta, terdiri daripada guru-guru PASTI negeri ini.

Pelbagai acara telah dijalankan antaranya alunan Qasidah dan sesi Tausiyah yang disampaikan oleh AJK Dewan Ulamak PAS Kawasan Kangar, Ustaz Muhamad Akmal Yahya.

Turut diadakan, sesi tayangan video finalis bagi acara yang dipertandingkan iaitu pertandingan Video PdPR Kreatif, Gema Selawat dan Sajak.

Menurut Pengarah PASTI Negeri, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil, kekangan yang ada dalam melaksanakan program secara bersemuka tidak boleh menjadi halangan untuk tidak mengadakan sambutan berkenaan (Maulidur Rasul).

“Cara pelaksanaannya (sambutan) tidak penting, yang penting adalah sejauh manakah sejauh manakah kita menghayati dan menjiwai cinta terhadap Junjungan Nabi Muhammad SAW melalui sambutan yang diadakan,” katanya.

Sementara itu, pemenang bagi pertandingan Video PdPR Kreatif menjadi milik Cikgu Zarina Hamid daripada PASTI An Nur, Padang Besar manakala PASTI Darul Taqwa, Padang Besar berjaya memenangi acara Gema Selawat.

Acara sajak pula menyaksikan wakil daripada Kawasan Kangar, Cikgu Sakinah Mohd Yusof (PASTI Kawasan Kangar), telah dinobatkan sebagai pemenang.