Home Berita PAS Sarawak

PASTI Miri Lahirkan 72 Graduan Pra-Sekolah

1452
SHARE

19 November 2017, Miri – Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Miri sekali lagi berjaya melahirkan graduan pra sekolah pada tahun ini. Majlis penganugerahan sijil graduasi yang diadakan penuh gilang gemilang berlangsung pada hari Ahad, 19 November 2017 di NAIM Clubhouse, Southlake Miri.

Seramai 72 orang pelajar dari 6 buah PASTI di sekitar Miri diraikan dalam majlis yang dirasmikan oleh tetamu kehormat, Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Yang Berhormat (YB) Ustaz Mohd Azam bin Abdul Samat, merangkap Adun Sungai Limau, Kedah.

Dalam ucapan perasmian, beliau memaklumkan bahawa sambutan masyarakat terhadap PASTI semakin meningkat hasil daripada kecemerlangan PASTI melahirkan graduan yang mempunyai asas nilai Islam dan moral yang baik, disamping mempunyai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.

Malah menurut beliau, Jabatan PASTI Malaysia yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah memperkenalkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak PASTI bagi meningkatkan lagi kemahiran guru-guru dan kualiti pendidikan di institusi ini.

“Tahniah diucapkan kepada PASTI Miri di atas kejayaan menubuhkan 6 buah PASTI semenjak tahun 2008 dan penambahan sebuah lagi PASTI di Pekan Bekenu yang akan mula beroperasi pada 2018,” ujar beliau lagi.

Turut hadir sebagai tetamu jemputan ialah, Encik Mohd Arifiriazul Paijo selaku Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak, ahli Dewan Harian PASTI Malaysia, Encik Awangku Alizul Azahari Awangku Matali selaku Ketua Pemuda PAS Kawasan Miri, Ustaz Borhanuddin Daud, selaku Pengerusi PASTI Kawasan Miri dan Encik Mohd Izuan Khaleb selaku wakil ibubapa PASTI Kawasan Miri.

“Saat menghantar anak ke PASTI, kami tak mengharapkan anak terus dapat membaca dan mengira seawal umur 4 tahun. Juga kami tak mengharapkan anak dapat bercakap bahasa inggeris dan bahasa asing lain dengan fasih.

“Apa yang kami harapkan ialah, akhlak baik yang dimiliki oleh guru-guru PASTI dapat diteladani oleh anak-anak. Juga kecintaan guru-guru PASTI terhadap Al Quran dan Hadis menular dalam jiwa anak-anak. Inilah asuhan yang paling ibu dan bapa idam-idamkan,” ujar wakil ibubapa dihadapan tetamu yang hadir.

Pengambilan pelajar sesi 2018 untuk PASTI Kawasan Miri masih dibuka. Untuk pendaftaran, boleh layari laman ‘page Facebook’ rasmi PASTI Kawasan Miri bagi mendapatkan nombor pengurus PASTI yang berhampiran dengan anda.