Home Berita PAS Perak

Kenyataan Media | PAS Perak cadang rumah terbuka Idulfitri Malaysia di Tambun

700
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS PERAK

PAS PERAK CADANG RUMAH TERBUKA IDULFITRI MALAYSIA DI TAMBUN

Menjadi tradisi di Malaysia kerajaan mengadakan sambutan idulfitri dan perayaan di peringkat persekutuan. Setiap perayaan utama kaum dan bangsa di Malaysia akan diraikan di peringkat persekutuan sebagai kemuncak acara tersebut. Satu negeri akan dipilih sebagai simbolik tertentu di samping penjimatan wang. Ia akan diraikan oleh semua warga dan bukan warga sebagai tetamu negara.

Satu kepelikan apabila tahun ini sambutan rumah terbuka idulfitri di buat di enam negeri. Lebik pelik lagi ia di buat di negeri yang akan menghadapi Pilihanraya Negeri. Apakah ia satu kebetulan atau perancangan menjadikan ianya medan kempen PRN. Jika ianya kempen awal PRN negeri, ini adalah penyalahgunaan kuasa yang bercanggah dengan aspirasi yang dilaungkan kerajaan. Jika ianya bukan kempen, ia satu pembaziran yang juga bercanggah dengan dasar penjimatan negara di saat rakyat sedang berada dalam situasi sukar.

PAS Perak merasa terpanggil untuk mencadangkan agar sambutan idulfitri dibuat di negeri Perak khasnya di Parlimen Tambun. Ia bagi mengelakkan rakyat terus melihat sambutan itu sebagai penyalahgunaan kuasa dan kempen pilihanraya yang membazirkan wang negara.

Perak wajar dipilih kerana Parlimen Tambun yang diwakili Perdana Menteri berada di Perak. Ia satu kelebihan untuk warga Tambun kerana ahli Parlimen mereka adalah Perdana Menteri. Mungkin pengundi Port Dickson tidak dapat merasai kehadiran DS Anwar sebagai wakil mereka kerana waktu itu beliau bukan Perdana Menteri dan tidak menetap di sana. Tidak wajar penduduk Tambun juga tidak dapat menikmati kesan ahli Parlimen mereka yang kini Perdana Menteri.

Perak juga wajar dipilih kerana ia adalah negeri pertama pembentukan kerajaan campuran Pakatan Harapan dan UMNO mendahului negeri lain malah mendahului kerajaan Persekutuan. Walaupun Perikatan Nasional mendahului kerusi DUN dengan 26 berbanding Pakatan Harapan 24 kerusi namun sokongan UMNO telah berjaya membentuk kerajaan yang di dominasi DAP dalam Pakatan Harapan. PAS Perak mengharapkan kerajaan campuran di Perak bersedia menjadi tuan rumah walaupun bilangan exco dan ahli Majlis ramai dari kalangan DAP. Ia peluang terbaik menunjukkan persefahaman dan toleransi kaum dan perpaduan di negeri ini.

PAS Perak sekali lagi menyeru agar sambutan idulfitri peringkat Persekutuan di satukan demi penjimatan wang negara dan mengelak sangkaan ianya merupakan siri kempen awal PRN. Jika ia diteruskan seperti yang telah diwar warkan, maka kerajaan tidak boleh menolak tanggapan umum rakyat bahawa kerajaan menyalahi slogan dan seruan mereka menolak rasuah dan pembaziran. Ia hanya retorik kosong yang bercanggah dengan amalan sebenar yang telah menjadi imej Pakatan Harapan sejak 2008. Keberadaan UMNO di dalam gabungan tersebut tidak membawa perubahan sebaliknya menyerlahkan keadaan sebenar.

Semoga kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan ini.

“ MALAYSIA SEJAHTERA ”

YB HAJI RAZMAN BIN ZAKARIA
PESURUHJAYA PAS PERAK
25 APRIL 2023 | 4 SYAWAL 1444H