Home Berita PAS Terengganu

Pasar Payang : Projek lama atau baru asal rakyat dapat manfaat

29
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan atau menyiapkan projek tinggalan pentadbiran terdahulu termasuk Kompleks Pasar Payang asalkan rakyat menerima manfaat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara baik yang dimulakan kerajaan lalu walau berbeza parti tetap dijayakan.

“Penekanan saya selepas dilantik pada 2018, saya kata mana-mana baik yang dilaksanakan oleh kerajaan lalu termasuklah perancangan bukan sekadar projek yang sedang berjalan kita akan teruskan dengan melakukan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Penyerahan Pasar Payang bertempat di Pasar Payang di sini hari ini.

Majlis Penyerahan tersebut telah diwakili oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Fadzli Mohd Kenali, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rosli Latif dan disaksikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bersama Ahmad Samsuri.

Sebelum ini ketika wawancara bersama Manis FM, Ahli Parlimen Kemaman itu pernah mengatakan bahawa amalan ‘scrape off’ atau membatalkan mana-mana projek pentadbiran lampau demi mewujudkan legasi sendiri hanya merugikan kewangan negeri dan membazir wang rakyat.

Oleh itu katanya, amalan tersebut perlu dihentikan dan budaya politik matang mesti diwujudkan demi kepentingan rakyat.

Terdahulu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya di majlis terbabit merakamkan ucapan terima kasih kepada pentadbiran negeri yang lalu dan Kerajaan Persekutuan, terutamanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan kepimpinan negeri sebelum ini dari parti lain yang telah memulakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2016 untuk dijadikan Pasar Payang wajah baharu sebagai suatu realiti.

“Dan kami yang mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri dari tahun 2018 meneruskan usaha tersebut dan Kompleks yang sebegini baik ini mula dibina pada 13 Ogos 2019 sehingga disiapkan pada 19 Julai 2023,” jelasnya.

Ahmad Samsuri berkata semangat kerjasama antara negeri dan Persekutuan juga perlu terus dipelihara mengikut lunas-lunas perlembagaan demi kemajuan dan pembangunan rakyat, negeri dan negara.

Bercakap tentang kompleks Pasar Payang berkenaan, Ahmad Samsuri memaklumkan pembinaannya melibatkan peruntukan sebanyak RM70.03 juta.

Katanya, kos bagi perunding projek telah ditanggung oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

“Kerja-kerja pembinaan Pasar Payang 1 dua tingkat ini menempatkan 412 lot kedai, 369 petak jualan, tandas, tandas OKU, eskalator, lif, surau, jam besar, infrastruktur seperti jalan masuk, tempat letak kenderaan, lampu jalan serta landskap,” jelasnya.

Ditanya mengenai nama pasar payang baharu itu, beliau berkata ia akan diteliti dengan serius bersama Nga Kor Ming selaku wakil Persekutuan.

“Saya percaya kita mempunyai hasrat yang sama untuk menjadikan pasar payang sebagai ikonik di negeri Terengganu bukan sahaja di negeri ini bahkan negara kita.

“Dari segi tarikh dan sebagainya termasuklah libat urus dengan semua pihak, kita akan maklumkan kepada orang ramai tarikh pembukaan untuk orang ramai menyerbu pasar payang 1 dan 2,” katanya.