Kenyataan Media
PAS Wilayah Persekutuan Bersedia Tanding 9 Kerusi Parlimen
14 Mei 2017/ 17 Syaaban 1438H
1. PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menyambut baik keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang telah memutuskan bahawa Tahaluf Siyasi antara PAS dan PKR telah terbatal disebabkan berlaku begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat Tahaluf Siyasi menurut pertimbangan syarak dan akhlak Islam.
2. Oleh yang demikian PAS WP telah membuat keputusan untuk bertanding 9 kerusi Parlimen dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang akan datang. Keputusan ini dibuat berdasarkan kemampuan jentera dan kehendak pengundi yang mahukan dan mengharapkan PAS sebagai Parti yang mampu memperjuangkan agenda rakyat dan masyarakat berbilang kaum dan agama.
3. Kerusi Parlimen yang akan ditandingi PAS adalah Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, Batu dan Segambut.
4. PAS WP memandang positif suasana politik mutakhir ini dan akan terus komited untuk melaksanakan gerak kerja pilihanraya dalam segala sudut. Peluang dan ruang yang ada akan digunakan sebaiknya untuk memenangkan PAS di kerusi parlimen yang telah disasarkan.
5. Selain itu, PAS WP juga komited terhadap Gagasan Sejahtera yang merupakan alternatif buat para pengundi untuk memilih kerajaan yang lebih berwibawa, telus, dan berintegriti tinggi bagi mewakili rakyat selepas PRU 14 akan datang.
“Sejahtera Bersama Islam”
Haji Mohamad Noor Bin Mohamad
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan
{jathumbnail off}