Home Berita PAS Wilayah

PAS Wilayah sambut Maal Hijrah atas talian

68
SHARE

PAS Wilayah sambut Maal Hijrah atas talian

*Oleh DHIYA’ MUTMAINNAH*

*KUALA LUMPUR, 10 Ogos*: Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) telah menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1443H secara atas talian semalam.

Sambutan itu turut disiarkan secara langsung menerusi laman ‘Facebook’ rasmi PAS Wilayah Persekutuan dan mendapat kira-kira 100 tontonan.

Majlis tersebut bermula jam 6.30 petang dengan bacaan Surah Yassin yang dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Shafie Abd Rahman.

Ia kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa Akhir Tahun dan Awal Tahun pada sebelum dan selepas Azan Maghrib oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Md Ali Jamil.

Sebelumnya , Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1443H mengingatkan tentang peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah.

“Dengan penyatuan ummah yang digagaskan oleh Baginda SAW pada masa itu, kaum Aus dan Khazraj yang dahulunya bertelagah dapat disatukan. Begitu juga kaum Muhajirin dan Ansar yang disatukan atas dasar aqidah. Kesatuan ini jugalah yang menjadi antara teras penting dalam pembinaan negara pertama umat Islam iaitu Madinah Al-Munawwarah,” jelas beliau.

Beliau turut mengajak umat Islam pada hari ini untuk kembali menghayati erti perpaduan agar seluruh lapisan masyarakat dapat berganding bahu dalam mengekang wabak Covid-19 sekaligus menatijahkan kesejateraan dalam hidup bermasyarakat.