Labuan, 23 Disember – Program Back To School PAS Kawasan Labuan mendapat sambutan meriah daripada pelbagai lapisan masyarakat. Program tersebut diadakan di Dewan Mariner, Hotel Mariner Labuan seawal pagi tadi.
Sumbangan berbentuk peralatan sekolah seperti beg sekolah, botol air, alat tulis dan wang saku diserahkan kepada 50 orang penerima sumbangan yang terdiri daripada anak yang lahir dari keluarga yang kurang kemampuan serta anak-anak yatim di sekitar Labuan. Hadir sama di dalam majlis ini, YDP PAS Kawasan Labuan, Tn Hj Hamir Bin Zahari, NYDP PAS Kawasan Labuan, Tn Hj Abdul Rahim Salleh, Setiausaha PAS Kawasan Labuan Encik Zulafham Zulkifli serta beberapa kepimpinan PAS Labuan.
Sebanyak RM 9,040.00 berjaya dikumpulkan hasil daripada sumbangan ahli-ahli PAS, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mahupun luar Labuan serta individu-individu yang ikhlas.
Program kebajikan Back To School PAS Labuan merupakan program tahunan kali ke-3 berturut-turut, disamping program-program kebajikan yang lain seperti Sumbangan Ramadhan, Jelajah Tarawih, Ziarah Kasih Hospital dan aktiviti-aktiviti ziarah bulanan yang lain.
Sebagai memenuhi keperluan masyarakat, PAS Kawasan Labuan sentiasa berusaha membantu mereka yang kurang kemampuan mengikut tahap kemampuan, sokongan dan dokongan ahli-ahli, NGO-NGO dan individu-individu pemurah.