Home Berita PAS Wilayah

PAS Wilayah | Maulidurrasul : Buktikan Kecintaanmu Kepada Rasulullah

960
SHARE

LEMBAH PANTAI, 23 Disember 2017 – Ahli PAS diseru agar menzahirkan tanda cinta kepada Rasulullah S.A.W. tidak terhad dalam acara tertentu bahkan turut diterjemah melalui perjuangan menegakkan syariat Islam.

Demikian ditegaskan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Nassuruddin Daud, Exco Kerajaan Kelantan ketika menyampaikan ceramah Maulidur Rasul di Surau Al Falah semalam.

Menurut beliau, syarat kesempurnaan iman ialah apabila kita menyintai nabi melebihi segalanya termasuk diri sendiri.

“Kisah Saidina Umar menunjukkan kepada kita bahawa rasa kasih pada Rasulullah hendaklah mengatasi cinta dan kasih kepada diri sendiri.

“Sebagai pendokong PAS, lambang kecintaan kita kepada Rasulullah adalah dengan kita mendokong sepenuhnya dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS,” katanya.

Mengulas mengenai isu membeza-bezakan kepimpinan dahulu dan sekarang, beliau menjelaskan bahawa setiap pemimpin membawa pendekatan berbeza tetapi tetap berlandaskan dasar dan panduan yang sama.

“Walaupun pimpinan kita telah pergi dan bersilih ganti, kita tidak akan tinggalkan perjuangan Islam selagi asas, rujukan dan panduan tetap mengikut acuan yang sebenar,” ujarnya.

Program anjuran bersama Persatuan Anak-anak Kelantan (PERAKAN) itu dimulakan dengan solat Isya’ berjemaah serta bacaan selawat memuliakan baginda.

Hadirin juga turut menikmati jamuan bubur pulut durian istimewa di samping menu tambahan yang lain.