Bismillahirrahmanirrahim
Firman Allah S.W.T dalam Surah At-Taubah ayat 41 yang bermaksud,
“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah, sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan pelbagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amat baik bagi kamu jika kamu mengetahui”
Di saat yang sangat genting ini, bila-bila sahaja akan diumum pembubaran parlimen dan tarikh pilihanraya. Justeru sebagai ahli gerakan PAS yang mengaku dan berikrar untuk bekerja demi kemenangan Islam, seharusnya kita semua bersiap-sedia dari segala segi untuk menghadapinya.
Selain komitmen yang tidak berbelah bagi terhadap gerak kerja kemenangan Islam, semua jentera mesti mempersiapkan diri dari sudut mental, fizikal dan rohani dalam menghadapi segala ujian, kekangan dan keputusan yang mungkin bercanggah dengan apa yang kita mahukan.
Sebagai jentera parti Islam, kita mesti sentiasa taat dan wala’ pada arahan pimpinan selagimana tidak bercanggah dengan Islam. Dalam keadaan ini, berikan sepenuh kepercayaan kita pada pimpinan kerana mereka pastinya punya sebab dan alasan untuk mengeluarkan arahan dan keputusan tersebut.
Saya berharap semua jentera tidak berpeluk tubuh dan berdiam diri dalam melaksanakan gerak kerja pilihanraya menuju kemenangan. Kerana apabila kita telah diposisikan pada mana-mana tempat untuk dijaga, maka sebaiknya kita perlu melaksanakan amanah ini sebaiknya walaupun hanya sekadar petugas di belakang tabir. Nilainya insyaAllah Allah S.W.T sahaja yang akan membalasnya.
Hj Abu Bakar Abdul Rahman
Timbalan Pesuruhjaya 3 BPPWP &
Pengarah JPRK Batu