Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

“Kami Prihatin Kesihatan Anda” Mendapat Sambutan di Melaka

184 views
SHARE

20 Januari 2018, Melaka : “Kami Prihatin Kesihatan Anda (KPKA)” beraksi lagi di negeri bersejarah iaitu di Melaka. Program KPKA kali ini merupakan program anjuran bersama Muslimat Medik (MusMedik) Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) dan juga MusMedik Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (LKK DMPNM), dengan kerjasama mantap lagi padu Majlis Tindakan Dun (MTD) Telok Mas dan MTD Rim.

Program KPKA ini merupakan program pemeriksaan kesihatan secara percuma yang diberikan kepada penduduk setempat. Pelbagai aktiviti kesihatan disediakan seperti rawatan gigi, khidmat pemeriksaan mata dan pemeriksaan kesihatan. Selain itu juga, KPKA juga ada melakukan Ziarah Medik Prihatin iaitu menziarahi pesakit-pesakit dari rumah ke rumah. Ziarah Medik Prihatin ini juga diketuai sendiri oleh Ketua Unit MusMedik LKK DMPM, Dr. Reen Mohd. Amin.

KPKA berjalan dengan lancar dan meriah sekali dari pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari di DUN Telok Mas, dan 2 petang hingga 6 petang di DUN Rim. Turut hadir merasmikan program serta bersama-sama menyertai Ziarah Medik di DUN Telok Mas adalah Ustaz Kamarudin Sedik, Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka. Manakala Pn. Hjh. Kintan Man, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka adalah peneraju utama program KPKA di DUN Rim.

Sebanyak 15 buah rumah telah terlibat dalam Ziarah Medik dan seramai 48 penyertaan program KPKA di DUN Telok Mas, manakala di DUN Rim, bagi Ziarah Medik, sebanyak 12 buah rumah telah diziarahi dan seramai 53 penyertaan program KPKA.

Turut hadir dan terlibat dalam program KPKA ini ialah Pengerusi LKK DMPM, iaitu Dr. ‘Uyun Abdul Malek yang juga telah mengetuai Rawatan Pergigian dalam program tersebut. Selain itu, Saudari Oyeen Abd Ghafor yang juga merupakan AJK LKK DMPM turut sama menjayakan program ini dengan mengetuai Khidmat Optometris dalam sesi rawatan tersebut.

Para Doktor dari AJK MusMedik LKK DMPM dan MusMedik LKK DMPNM juga ramai berganding bahu dalam menjaya program ini.

Alhamdulillah, Program KPKA selesai dengan jayanya atas usaha yang tidak kenal erti lelah dari kalangan pimpinan MusMedik dan kerjasama mantap dari kalangan AJK MusMedik. Tidak lupa juga, penghargaan yang setinggi-tingginya kepada para penyumbang yang telah menyumbang dengan ikhlas juga banyak memberi impak atas kejayaan program ini. Jazakumullahu khair katheera.