Oleh: Wan Syahirah Wan Jafri
WANGSA MAJU , 13 Januari – Kebajikan Orang Kelainan Upaya (OKU) ialah antara yang diberi perhatian oleh PAS Wangsa Maju, antaranya melalui ziarah yang dibuat ke tiga buah rumah Ahad lalu.
Kunjungan tersebut bertujuan mengetahui keadaan semasa keluarga berkenaan di samping memberi suntikan semangat dan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan harian.
Turut hadir sama ialah Ahli Dewan Negara, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Bin Mohamed Daud dan Ketua Cawangan PAS Kampung Sungai Merali, Haji Sulaiman Ismail.
“Rata-rata OKU yang dikunjungi ini adalah mereka yang sakit terlantar dan tidak dapat menguruskan diri sendiri dengan sempurna sama ada dijaga oleh keluarga atau ibu bapa,” ulas Ustazah Nuridah hasil lawatan berkenaan.
“Apa yang menariknya, saya kagum melihat Haji Ismail Tan 83, kurang penglihatan dan pendengaran namun tetap menghafal ayat Al-Quran dan doa-doa diperdengarkan kepadanya setiap hari, sebagai bait-bait penguat semangat serta pengisian rohani.
Selain Haji Ismail, terdapat dua buah rumah yang turut diziarahi iaitu rumah Puan Kamsiah Hassan yang menjaga adiknya yang cacat akibat demam panas sejak kecil dan kini berusia 50 tahun, serta rumah Puan Rahmah yang menjaga anaknya berusia 30 tahun yang memerlukan bantuan untuk menguruskan diri sejak mengalami kemalangan tidak lama dahulu.
“Kita berharap ziarah ini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai atau komuniti berkaitan penerimaan OKU dalam kalangan masyarakat serta dapat menghulurkan bantuan semampunya”, ujar Ustazah Nuridah yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.