Home Artikel PAS Wilayah

Lagi sumbangan sampai pada keluarga terjejas akibat Covid-19

203
SHARE

Oleh: ‘Ainin Shukri
6 Mac 2021

BATU : Usaha meringankan beban golongan yang terjejas akibat Covid-19 giat diteruskan oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 3 dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Batu Permai, semalam.

Seramai 40 orang individu yang menetap di sekitar Taman Batu Permai telah menerima sumbangan berupa makanan asas termasuk beras di bawah inisiatif MyBeras@Wilayah.

Selain dari membantu golongan yang tidak berkemampuan, program ini juga bertujuan untuk menjalinkan hubungan erat antara MPP dan penduduk.

Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang juga Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Azhar Yahya.

“Sumbangan yang diberikan ini merupakan inisiatif kerajaan yang telah banyak memperuntukkan perbelanjaan buat individu dan keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Besar harapan saya agar masyarakat di Batu dapat mengenali semua wakil MPP di zon masing-masing agar mudah untuk membuat sebarang aduan dan memohon bantuan bagi keluarga dan individu yang memerlukan,” ujar beliau semasa majlis tersebut.

Turut hadir adalah Pengerusi MPP Sub Zon 3, Hishamuddin Ghazali yang juga merangkap Setiausaha PAS Kawasan Batu bersama Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Batu Permai, Abdul Rof Aminullah yang merupakan Ketua UMNO Cawangan Batu Permai dan Amran Majed selaku Yang Dipertua PAS Kepong.

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Persatuan Penduduk Taman Batu Permai atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.