Titiwangsa, 1 April 2018: Pasca pelancaran manifesto PAS bersama Gagasan Sejahtera, PAS Titiwangsa meneruskan misi penerangan kepada peniaga dan pengunjung Pasar Keramat, di sini. Rata-rata peniaga dan pengunjung menerima baik kehadiran petugas dan bertanya berkenaan pembawaan PAS bersama Gagasan Sejahtera.
Selain dari risalah penerangan dan edaran sisipan akhbar Harakah, program ini turut diisi dengan sesi tazkirah dan kutipan derma jihad untuk kegunaan PRU 14.
Naib Yang Di-Pertua (NYDP) PAS Kawasan Titiwangsa, Haji Abdul Hadi Abdul Halim mengingatkan kepada orang ramai tentang kesyumulan Islam. Semua perkara ada panduan dalam Islam termasuklah panduan kehidupan harian, urusan ekonomi, pendidikan, pembangunan sosial, adab dan akhlak.
“Semua panduan ini telah digariskan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Tidak ketinggalan juga dalam urusan memilih pemimpin. Untuk rekod, PAS telah menunjukkan model kepimpinan yang telus tanpa rasuah sepanjang 28 tahun memerintah Kelantan,” katanya.
Program penerangan yang diketuai oleh Ketua PAS Zon Keramat, Haji Mohd Amin Abdullah itu turut menerima permohonan ahli baru dari pengunjung yang hadir. “Ini membuktikan PAS semakin diterima walaupun telah difitnah dengan pelbagai tuduhan yang tidak benar,” katanya.
Program ini akan diadakan setiap minggu sehingga Parlimen Malaysia dibubarkan dan seterusnya memasuki tempoh berkempen dan pilihanraya.