Home Berita PAS Terengganu

PAS Terajui Dasar Buruh Berkebajikan

1484
SHARE

Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus

Khamis 15 Februari 2018 | 29 Jamadilawal 1439H

PAS TERAJUI DASAR BURUH BERKEBAJIKAN

1. Panduan PAS adalah Islam; dengan merujuk kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai sumber hukum yang tertinggi.

2. Prinsip utama dasar buruh PAS ialah bahawa manusia itu adalah makhluk yang mempunyai akal dan nafsu serta roh dan jasad yang perlu dibina dan dibajai serta digunakan sesuai dengan fitrah penciptaannya yang telah ditetapkan.

3. Manusia perlu memberikan hak kepada jasadnya untuk makan dan minum, berehat dan berhibur. Perlu memberikan hak kepada roh dan akalnya untuk mendapatkan ilmu. Perlu memberikan hak kepada ahli keluarga anak, isteri, ibu, bapa dan sanak saudara untuk bermesra dan berziarah. Perlu memberikan hak kepada jiran tetangga dan masyarakat untuk berhubung kasih dan bersosial serta melakukan kebajikan sesama manusia.

4. Manusia hidup bukan hanya untuk bekerja mencari nafkah. Tetapi dia perlu juga memakmurkan kehidupan dengan aktiviti ibadah khas beragama, aktiviti berkeluarga, aktiviti bermasyarakat dan pelbagai aktiviti yang boleh melapangkan akal, menenangkan minda dan merehatkan jasad. Bukan hanya terpenjara dalam ruang lingkup pekerjaan mencari nafkah semata-mata.

5. Perbezaan jantina makhluk bergelar manusia justeru menatijahkan hak dan tanggungjawab yang berbeza juga adalah suatu bentuk kemuliaan dan bukannya diskriminasi terhadap mana-mana jantina.

6. Berlainan dengan teori buruh yang dibangunkan berasaskan ideologi ciptaan manusia yang hanya menganggap bahawa manusia adalah semata-mata alat (machinery) bagi memacu produktiviti kebendaan dalam kehidupan; dan, lelaki dan perempuan pula adalah sama sahaja sehinggakan syariat Islam yang memperihalkan perbezaan antara lelaki dan perempuan ditentang lantang atas nama hak asasi manusia dan kesamarataan gender.

7. Bertitik tolak daripada prinsip-prinsip inilah, PAS telah memperkenalkan dasar buruh yang berkebajikan kepada para pekerja. Contoh ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan oleh Kerajaan Negeri yang ditadbir atau pernah ditadbir oleh PAS di Kelantan dan Terengganu. Antaranya :

(a) DASAR KERJA LIMA (5) HARI SEMINGGU.

Bermula 1hb Januari 1996, Kerajaan Kelantan diterajui PAS menetapkan hari berkerja hanya lima (5) hari seminggu dan memperuntukkan dua (2) hari sebagai cuti rehat.

Rasionalnya ialah bagi menjadikan masyarakat lebih berilmu dengan menjadikan Jumaat sebagai hari ilmu dan menjadikan Sabtu hari bersama keluarga bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Tindakan ini dapat menggalakkan produktiviti kerja setelah mereka mendapat rehat yang cukup serta membantu sektor pelancongan domestik.

Dasar ini kemudiannya ditiru oleh Kerajaan Persekutuan dengan memperkenalkan cuti tambahan pada Sabtu minggu pertama bermula Januari 1999 dan bermula Februari 2000 pula, Sabtu minggu pertama dan ketiga dijadikan sebagai hari cuti.

Pada Julai 2005 barulah Kerajaan Persekutuan melaksanakan sepenuhnya dasar lima (5) hari berkerja dan cuti dua hari tetapi dengan memanjangkan tempoh masa berkerja pada 5 hari tersebut.

(b) DASAR CUTI WANITA BERSALIN

Pada tahun 1991 Kerajaan PAS Kelantan memberi hak kepada pekerja wanita yang bersalin dengan diberikan cuti daripada 42 hari sebelumnya kepada 60 hari.

Ia bagi memberikan tempoh yang secukupnya untuk bersama dengan anak yang baru dilahirkan dan memastikan ibu itu pulih sepenuhnya sebelum kembali berkerja.

Ia juga satu pemberian hak terhadap anak yang baru lahir untuk dijaga dan dibelai sepenuhnya oleh ibu selepas kelahiran apatah lagi hak penyusuan susu ibu.

Pada 1hb Mei 1998 barulah polisi itu ditiru oleh Kerajaan Persekutuan menerusi pekeliling bilangan 2 tahun 1998.

Pada Mei 2010, Kerajaan PAS Kelantan memperkenalkan pula dasar cuti bersalin kepada 90 hari.

Pada 15 hb Oktober 2010 Kerajaan Persekutuan mengambil langkah yang sama memberikan cuti 90 hari TETAPI dengan had maksima 300 hari dan pekerja boleh memilih untuk mengambil cuti antara 60 hingga 90 hari.

Berkuatkuasa Januari 2018 pula had maksima ini ditambah kepada 360 hari dan dalam masa yang sama, cuti 90 hari ini juga diperluaskan ke sektor swasta pula .

8. Menariknya, dasar-dasar yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh PAS ini yang kemudiaannya turut diikuti oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri yang lain dan juga sektor swasta membuktikan bahawa ia adalah dasar yang sangat baik dan bermanfaat bukan sahaja kepada pekerja, bahkan kepada aspek-aspek lain juga.

9. Ia juga mengingatkan kita dengan firman Allah
وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ ۖ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ (73)

“Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang membimbing berdasarkan perintah Kami dan Kami ilhamkan kepada mereka perlakuan kebajikan….”
(Surah al-Anbiya ayat 73)

Sesungguhnya Allah mengilhamkan kepada para pemimpin yang memerintah berpandukan Islam pelbagai polisi kebajikan yang memberi kebaikan kepada rakyat.

10. Saya juga sebelum ini pernah mencadangkan supaya tempoh masa bekerja para wanita berkeluarga dikurangkan daripada 8 jam kepada hanya 5 atau 6 jam sehari dengan gaji yang sama seperti lelaki yang bekerja selama 8 jam sehari bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan dan sebagai penghargaan kepada wanita yang berkeluarga.

11. Apabila PAS diberikan kepercayaan untuk mentadbir lebih banyak negeri dan mentadbir negara, saya percaya pelbagai lagi dasar berkebajikan yang akan diperkenalkan dan dilaksanakan yang akan menguntungkan para pekerja di negara ini. Pelbagai ilham akan dicurahkan oleh Allah insyallah.

Sekian.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus