Home Berita PAS Perak

PAS Teluk Intan bantu golongan asnaf sempena Aidil Fitri

113
SHARE

Oleh: Ummu Nidhal

Teluk Intan, 28 April: Sempena perayaan Aidil Fitri yang bakal tiba, PAS kawasan Teluk Intan telah mengambil inisiatif menyerahkan sumbangan barangan dapur kepada 100 golongan asnaf sekitar kawasan itu.

Program anjuran Lajnah Kebajikan PAS Teluk Intan ini telah diadakan di Dewan Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) petang semalam.

Yang DiPertua PAS Teluk Intan Mohd Azhar Rafie berkata program ini diadakan sebagai tanda keprihatin dan kasih sayang PAS terhadap saudara seIslam yang kurang berkemampuan.

“Sumbangan hari ini adalah hasil kutipan derma ahli PAS juga bantuan dari pihak lain yang prihatin dengan tujuan untuk meringankan sedikit bebanan golongan asnaf dalam membuat persiapan menyambut Aidil Fitri yang bakal menjelang,” katanya ketika merasmikan program itu.

Katanya lagi, PAS Teluk Intan dengan misi dan visinya “PAS Harapan Kami” sentiasa peka menyelami denyut nadi masyarakat setempat yang terkesan dengan kenaikan harga barang dan bersedia menghulurkan bantuan apabila diperlukan.

Beliau juga turut menitip pesanan agar terus melipatgandakan amal ibadah dan berdoa di sepuluh akhir Ramadan ini bagi memohon keampunan dari Allah dan mengharap kekuatan dari-Nya dalam mengharungi liku kehidupan yang penuh cabaran ini.

Bacaan tahlil turut diadakan dibawah pimpinan Ketua Lajnah Kebajikan PAS Teluk Intan Mohd Lutfi Shamsudin.

Selain menerima sumbangan barangan dapur, peserta juga dibekalkan dengan juadah berbuka dan bubur lambuk. Sebelum pulang mereka turut peluang memilih baju-baju raya hasil sumbangan orang ramai.

Rata-rata , peserta yang ditemui mengucapkan syukur dan terima kasih atas sumbangan yang diterima petang tadi.

Hadir sama, Naib Yang Di Pertua (NYDP) PAS Teluk Intan, Ahmad Khairi Jamaludin, Ketua Muslimat kawasan Robi’atun Mohd Abas, Ketua Ameerah Teluk Intan Iffah Kamilah Khushairi dan Ketua PAS cawangan Padang Tembak Abidin Syarif.