Home Berita PAS Melaka

PAS Tangga Batu kumpul dana baiki bumbung rosak akibat ribut

136
SHARE

Oleh IBNU JANIE
Foto LURIMA

TANGGA BATU, 1 Mac : PAS Tangga Batu akan membaiki bumbung rumah milik pasangan Arifin Ibrahim dan Ummi Kalsum Kamarudin yang rosak teruk akibat kejadian ribut yang berlaku baru-baru ini, kata Yang Dipertuanya, Bakri Jamaluddin.

Menurut beliau, setakat ini kos untuk membaiki kerosakan itu dianggarkan sebanyak RM10 ribu berdasarkan taksiran kontraktor.

“Setakat ni kita baru dapat nilai bahan binaan menurut kata kontraktor ialah sekitar RM7000. Itu bahan sahaja tak termasuk upah. Kita anggarkan kos keseluruhan sekitar RM10 ribu,” ujar beliau.

Bakri yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya-1 PAS Melaka berkata, setakat ini dana yang telah dikumpulkan melalui sumbangan ahli-ahli PAS dan orang ramai berjumlah sekitar RM4000.

“Jumlah ini memang masih tidak mencukupi namun kita masih berusaha mencukupkan dana ini. Tapi kita janji akan tampung semua kos terlibat,” ujar Bakri lagi.

Beliau berkata demikian ketika melakukan ziarah dan tinjauan keadaan terkini rumah tersebut, di Kampung Tanah Merah, Krubong,, di sini, kelmarin.

Habibah Cahat (kiri), ibu mentua kepada Arifin Ibrahim

Sementara itu ibu kepada Ummi Kalsum, Habibah Cahat, 62, yang tidak dapat menahan sebak kerana terharu, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada PAS Kawasan Tangga Batu atas sumbangan ini.

“Makcik ucapkan terima kasih kepada semua yang menolong anak makcik ni, yang tengah dalam kesusahan macam ni. Terima kasih banyak-banyak kepada yang menolong.

“Tapi sekarang ni anak makcik ni (Ummi Kalsum) dan keluarga dia sedang kuarantin sebab Covid-19. Dia sekarang dekat rumah sewa dia yang dia duduk lepas ribut hari tu,” ujar Habibah.

Dalam kunjungan yang sama Bakri turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai saguhati untuk perbelanjaan keluarga Arifin.

Turut serta di dalam program ini ialah Ketua Cawangan PAS Kampung Tanah Merah Krubong, Jasmi Jamil, bersama beberapa orang ahli jawatankuasanya.

Kisah tentang musibah yang melanda Arifin dan keluarganya ini ada disiarkan di portal ini pada 23 Februari lepas apabila keluarga ini menerima kunjungan Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail pada Selasa.