Oleh : Fatimah Azizuddin
TAIPING, Seramai 11 orang pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM 2020 yang memperoleh keputusan cemerlang juga merupakan anak-anak dalam kalangan ahli PAS Kawasan Taiping telah dirai dalam satu majlis khas di sini kelmarin.
Yang Dipertua PAS Kawasan Taiping, Saidin Hasnam berkata, penganjuran majlis ini berikutan ramainya anak-anak ahli PAS Taiping yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan di samping memberi motivasi serta suntikan semangat supaya mereka terus berusaha dengan cemerlang di masa akan datang.
“Sememangnya kita akan sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik kepada mereka dan sedikit suntikan ini dapat memberi kesedaran serta semangat kepada mereka untuk terus berjaya dalam hidup,” katanya.
Tambahnya lagi, besarlah harapan PAS kawasan apabila tamat pengajian diperingkat institusi pengajian tinggi nanti dapatlah mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari untuk dimanfaatkan kepada agama, bangsa, negara sekaligus menjadi penerus perjuangan menegakkan agama Allah.
Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik anjuran Lajnah Pendidikan di Pejabat PAS Kawasan Taiping disini kelmarin.
Sementara itu, pelajar cemerlang SPM dengan keputusan 10A dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kerian, Siti Safiyyah Ibrahim,18, menjelaskan masih menunggu tawaran kemasukan ke pusat pengajian tinggi dan berhasrat meneruskan pengajian dalam jurusan perniagaan.
Siti Safiyyah begitu terharu dan berterima kasih di atas majlis yang diadakan. Beliau bersama para pelajar cemerlang lain yang diraikan telah menerima cenderamata berupa plak, sijil penghargaan dan wang tunai.
Turut sama dalam program tersebut TYDP PAS Taiping, Ibrahim Ismail, NYDP PAS Taiping, Mohamad Fakhrudin Abdul Aziz, Pengerusi Lajnah Pendidikan, Azmi Mahmud dan Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Taiping, Siti Patimah Mohd Noor.