Home Berita PAS Sabah

PAS SILAM tampil hulur bantuan kepada mangsa kebakaran

601
SHARE

Oleh : Hishamudin Ahmadun
13 Oktober 2019

LAHAD DATU : Rentetan peristiwa kebakaran di Kampung Teck Guan, Batu 1 baru-baru ini, PAS Kawasan Silam telah rancak mengumpulkan hasil sumbangan orang ramai sejak 10 Oktober lepas untuk diberikan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Hari ini, Kumpulan Misi Kemanusian PAS Kawasan Silam sudah memulakan operasi seawal pukul 7.30 pagi bagi mengagihkan sarapan percuma kepada penduduk Kampung Teck Guan yang terlibat dengan kebakaran itu.

Manakala pada pukul 8.00 pagi sehingga 4.30 petang, Kumpulan Misi Kemanusiaan sibuk mengumpulkan barang sumbangan, membungkus dan mengagihkan kepada mangsa-mangsa tersebut.

Hadir sama dalam misi kemanusiaan pada hari ini Mad Zaki Ibrahim yang merupakan Ketua Cawangan PAS Lahad Datu bersama Landari Labobo selaku Ketua Pemuda PAS Kawasan Silam.

Mad Zaki berkata, PAS Kawasan Silam amat bersimpati terhadap ujian yang telah menimpa mangsa-mangsa kebakaran ini dan berharap lebih ramai orang awam yang turut memberikan bantuan dari aspek keperluan asas seperti makanan, bekalan air, selimut dan bantal untuk kegunaan sementara.

Rata-rata mangsa yang ditemui meluahkan rasa syukur kerana ramai pihak yang sudi membantu mereka sejak dari hari pertama kebakaran itu lagi.

Mengikut data yang diperolehi daripada Operasi Misi Kemanusiaan Kampung Teck Guan, Batu 1 Lahad Datu ini sekitar 50 buah keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal dan sumber makanan.

PAS Kawasan Silam turut bersedih dan mengucapkan takziah kepada semua mangsa kebakaran Kampung Teck Guan baru-baru ini.