Oleh : MOHD SAFWAN BIN MOHAMMAD
PAS Kawasan Semporna dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah Relief turun memberi sumbangan wang ringgit kepada golongan asnaf di Kg. Tunggulangan, Semporna dekat sini kelmarin.
Ketua Lajnah Kebajikan dan Kebajikan PAS Kawasan, Razis Asparin berkata, ini bukan pertama kali PAS memasuki perkampungan ini bagi membantu masyarakat kampung.
“Masyarakat Kg. Tunggulangan sudah dekat di hati PAS Semporna, program kita bersama yang terakhir ibadah korban tahun lalu,” jelasnya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Mewakili Ketua Kampung, Mohd Ramsah Ujoh menzahirkan penghargaan terima kasih kepada PAS dan NGO Sabah Relief atas bantuan yang dihulurkan kepada penduduk Kampung.
“Alhamdulillah, ribuan terima kasih kepada semua atas sumbangan yang cukup bermakna ini dan kerana banyak membantu orang Kampung di sini,” katanya.
Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan, Abd Jalal Ujoh, Ketua Pemuda PAS Kawasan, Muhammad Huzaini Rohani, Pengerusi Masjid, Nurillah Goloh dan beberapa jawatankuasa Masjid dan PAS Kawasan Semporna.