Home Berita PAS Pahang

PAS Semambu sumbang kerusi untuk Klinik Kesihatan Kuantan

229
SHARE

OLEH: KHASDI KOSNIN

INDERA MAHKOTA, 8 Dis. :: Klinik Kesihatan Bandar Kuantan (KKBK) telah menerima sumbangan sebanyak 55 buah kerusi untuk kegunaan awam baru-baru ini.

“Kerusi-kerusi tersebut sangat diperlukan di kaunter pendaftaran dan ruang tempat menunggu, memberi keselesaan kepada pesakit dan ahli keluarganya terutama di musim Covid-19 meningkat, pesakit-pesakit luar tertumpu di klinik-klinik kesihatan,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Semambu, Ustaz Zulfadli Zakariah.

“Dari rasa perihatin ini, PAS DUN Semambu telah melancarkan kutipan dana bagi menampung pembelian kerusi tersebut dari cawangan-cawangan DUN Semambu dan akhirnya telah berjaya,” tambah Zulfadli.

Sementara itu, Pengerusi Penasihat KKBK Tuan Asri Ghazali yang telah dilantik menganggotai Penasihat (KKBK) pada tahun 2021 berkata, peranan selaku Penasihat Klinik Kesihatan menjadi satu tanggungjawab bagi PAS untuk melaksanakan aktiviti sosial bila berada dalam organisasi ini.

“Kita kena berganding bahu bersama-sama dengan pihak yang lain untuk memastikan KKBK sentiasa menjalin hubungan yang baik dan dapat memberi perkhidmatan yang berkesan kepada komuniti setempat,” kata beliau yang juga Setiausaha PAS Cawangan Bukit Sekilau.

Manakala wakil daripada KKBK Dr. Nurul Adlin Abd Halim melahirkan rasa terharu di atas keprihatinan pihak PAS Semambu selaku Penasihat KKBK yang telah menyumbangkan kerusi tersebut terutama ketika keadaan KKBK memerlukan bantuan bagi menampung pertambahan pengunjung dan jumlah pesakit-pesakit Covid-19 yang hadir untuk menerima rawatan.

Sumbangan kerusi telah diserahkan oleh Ustaz Zulfadli Zakariah secara rasminya baru-baru ini bertempat di Klinik Kesihatan Bandar Kuantan, yang dihadiri juga oleh Ahli Jawatankuasa Penasihat Klinik Kesihatan Kuantan, Tuan Md Khairul Azahar Samsudin dan Ahli Jawatankusa PAS Cawangan Bukit Sekilau dan Cenderawasih.

=======================