Home Berita PAS Selangor

PAS SELANGOR AKUR ISU PERPADUAN UMMAH YANG DISENTUH DYMM SULTAN SELANGOR

185
SHARE

PAS Selangor menjunjung kasih di atas titah peringatan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj di Masjid Ma’arufiah Kampung Parit Baru, Sungai Air Tawar, di Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini yang menyentuh isu penyatuan dan perpaduan ummah khusus dikalangan umat Melayu Islam di negeri ini.

Baginda dengan penuh prihatin telah menzahirkan kebimbangan akan perpecahan dikalangan orang-orang Melayu akibat perbezaan pendirian politik yang boleh mengakibatkan orang Melayu di negara ini akan terus lemah dan disatu hari nanti akan hilang kuasa memerintah, malah akan menjadi satu bangsa yang mundur dan terpinggir di tanah air sendiri.

PAS Selangor akur dan turut berkongsi kebimbangan Tuanku itu dengan menyeru orang-orang Melayu khasnya agar memberi sokongan ke atas usaha menyatupadukan ummah demi membina kekuatan politik umat Melayu dalam negara. Dengan cara ini kuasa memerintah akan kekal di tangan mereka dan tidak jatuh ke pihak lain.

Baginda turut menyentuh darihal Pilihan Raya Umum Negeri yang bakal diadakan dengan menasihati rakyat jelata agar memilih pemimpin yang amanah, bertanggungjawab dan tidak mengamalkan rasuah.

PAS Selangor memandang serius nasihat bijaksana Tuanku ini yang mencerminkan hasrat DYMM Tuanku agar rakyat tidak tersalah pilih dalam PRN kelak. Justeru PAS Selangor memberi komitmen akan membariskan calon-calon yang berintegiriti, kompeten dan bebas rasuah sebagai pilihan terbaik buat rakyat Selangor.

Baginda turut mengingatkan semua pihak agar berhemah semasa berkempen dalam PRN nanti dan mematuhi segala undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menghormati proses demokrasi PAS Selangor berikrar akan sentiasa menumpahkan taat setia kepada Tuanku dan mengamalkan budaya politik yang matang dan sejahtera sepanjang tempoh kempen PRN nanti dan menyeru agar pihak lain turut mematuhi peringatan Kebawah Duli Tuanku ini.

Semoga Allah SWT melimpahkan Kebawah Duli Tuanku dan Tuanku Raja Permaisuri serta ahli-ahli keluarga dengan taufik dan hidayah, dipanjangkan umur, kesihatan yang baik dan Tuanku berdua terus bersemayam di singgahsana dengan segala kehormatan serta kebesarannya dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT jua.

Junjung kasih Tuanku.

Daulat Tuanku.

DATO’ DR. AHMAD YUNUS BIN HAIRI

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor

Ahli Parlimen Kuala Langat/ Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang

16 April 2023 | 25 RAMADAN 1444