Home Artikel PAS Sabah

PAS Sabah tubuh 39 cawangan baharu – sedia hadapi PRU15

716
SHARE

Oleh : Laila Ismail
23 Jun 2020

SANDAKAN : PAS Sabah berjaya menubuhkan 39 cawangan selepas menerima permohonan keahlian baharu daripada 25 cawangan bagi Parlimen Sandakan manakala 14 lagi bagi Parlimen Batu Sapi.

Majlis penyerahan borang penubuhan cawangan baharu itu dilaksanakan pada ahad lalu di Sandakan yang dihadiri Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling, Timbalan Pesuruhjaya, Sahar Abdul Majid dan AJK Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah yang lain.

Mohd Aminuddin, ketika dihubungi berkata, penubuhan cawangan PAS di dua kawasan tersebut bukti kepercayaan rakyat terhadap kemampuan PAS membela nasib mereka berlandaskan syariat islam khususnya yang masih memerlukan bantuan dan pembangunan.

“Ia juga sebagai persediaan PAS Sabah bagi menghadapi PRU15 pada bila-bila masa kerana kita percaya gelombang perubahan ini juga akan berlaku di seluruh negeri yang melibatkan rakyat dari pelbagai latar belakang agama dan kaum,” ujarnya.

Sementara itu, seorang mantan Calon Star PRU13, Dato’ Saiful Bahri Rashada yang telah bersara 7 tahun dari arena politik turut mengumumkan menyertai PAS berkuatkuasa semalam.

“Ini adalah satu penghijrahan buat saya ke dalam PAS kerana saya terpanggil untuk bersama apabila melihat agama Islam diperlekehkan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu dipermainkan,” jelasnya.

Sebelum ini, PAS telah mempunyai 22 kawasan di seluruh negeri yang aktif dengan gerak kerja politik, dakwah, pendidikan dan kebajikan sejak lebih 30 tahun lalu.