Home Berita PAS Sabah

PAS rayu sumbangan orang ramai baiki masjid uzur

74
SHARE

Oleh : Mohd Rahman Awang
2 Jun 2021

SANDAKAN : PAS Sandakan merayu sumbangan kewangan daripada orang ramai bagi membiayai kos pembaikan Masjid An-Nur yang dalam keadaan uzur dan banyak kerosakan.

Sumbangan tersebut boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan, 10043010001846 memandangkan dana yang terkumpul bagi penyelenggaraan masjid berkenaan masih sedikit.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid ketika melawat masjid berkenaan di Kampung Sentosa Jaya, Batu 3, dekat sini pada isnin sekaligus menyampaikan sumbangan kewangan.

Jelasnya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sandakan, penduduk kampung selama ini telah bergotong royong membaiki masjid berkenaan tanpa mengharapkan upah disamping mengutip sumbangan daripada pelbagai pihak bagi menjayakannya.

“Banyak yang perlu dibaiki termasuklah menukar atap yang bocor, meninggikan lantai, membina tandas, ruang wudhu’, bilik pengurusan jenazah, kelas pengajian al-Quran dan sebagainya,” tambahnya.

Ujarnya lagi, usaha tersebut perlu diberi perhatian oleh masyarakat khususnya umat Islam memandangkan pahala yang dijanjikan amat besar sekiranya mengusahakan pembinaan masjid.

“Allah janjikan mahligai di syurga bagi sesiapa yang membina masjid atau ruang solat di dunia walaupun hanya sebesar sarang burung, justeru ia perlu jadi motivasi buat kita semua,” ulas Sahar.

Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Mustaman Mustain, Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah merangkap Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Untukmu Sandakan yang turut bekerjasama menjayakan kutipan sumbangan tersebut.