Home Berita PAS Sabah

PAS Putatan santuni ‘rider’ foodpanda dan GrabFood serta petugas masjid

226
SHARE

Oleh : Janira Ain Abu Bakar

11 Mei 2021

KOTA KINABALU : Dalam era pandemik yang melanda, sektor e-hailing termasuk khidmat ‘rider’ penghantar makanan banyak membantu para peniaga dan juga para pengguna. Mereka merupakan sebahagian daripada barisan hadapan yang sedia berkhidmat untuk memenuhi keperluan masyarakat.

Menyedari hakikat ini, PAS Putatan mengambil inisiatif meraikan para ‘rider’ Foodpanda dan GrabFood dalam satu majlis ringkas di Masjid Negeri Sabah, petang semalam.

Sumbangan Aidilfitri Duit Raya dan Kit Raya disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan, Ustaz Hj Muhammad Akmal Othman dan Naib Yang Dipertua, Hj Khairan Untoh kepada 70 ‘rider’ Foodpanda dan Grabfood serta 20 orang petugas Masjid Negeri.

Turut hadir, Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Ustaz Suhaidi bin Hj Kuanting.

Dalam ucapan ringkas, Ustaz Muhammad Akmal menyatakan bahawa para ‘rider’ adalah dalam golongan yang memudahkan urusan orang lain. Beliau memetik sabda Nabi Muhammad S.A.W., “Allah S.W.T sentiasa menolong hamba-Nya, selama hamba-Nya itu menolong saudaranya.”

“Apabila masuk waktu sembahyang, singgahlah ke mana-mana masjid (atau) mana-mana surau untuk mendirikan sembahyang” ujar beliau lagi sambil mengingatkan supaya para ‘rider’ tetap teguh berpegang dengan agama walaupun sibuk mencari rezeki.

Salah seorang ‘rider’ Foodpanda, Irfan Nazhan Nazari, mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana menganjurkan program sebegini. “Kami rider-rider sekalian jarang ada aktiviti-aktiviti ataupun sumbangan yang diberikan kepada kami seperti ini, jadi kami rasa terharu dan rasa senang hati ada pihak yang sanggup untuk raihkan kami. Rasa bersyukur satu, dan juga rasa dihargai,” ujarnya.

“Dengan keadaan musim pandemik Covid-19 ini, pendapatan kami kurang berbanding dahulu. Jadi dengan ada bantuan sebegini boleh meringankan beban kami, sedikit demi sedikit,” tambah Mohd Zuhaimi Sapudin, ‘rider’ GrabFood.

PAS Putatan memberikan sumbangan berbentuk Duit Raya dan kurma yang bernilai RM100 sebagai tanda menghargai jasa para ‘rider’ yang berdedikasi menjalankan tugas.