Oleh : Aisyah Ramadha Ismail
28 Mac 2020
PUTATAN : Dalam penularan Covid-19, PAS Putatan menyelami keresahan penduduk sekitar Putatan yang memerlukan bantuan keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19.
Agihan siri pertama dan kedua bantuan asas seperti beras, barangan dapur serta keperluan bayi, telah dijalankan pada 24 dan 25 Mac 2020 lalu, menyentuh beberapa keluarga susah dan memerlukan.
Beberapa orang petugas telah diberikan panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) Hantar Sumbangan yang disediakan oleh Khidmat Malaysia, sebelum berpecah ke beberapa lokasi yang sudah ditetapkan iaitu PPR Sri Serigai, Penampang, Kepayan, sekitar Pekan Lok Kawi, Tanjung Aru dan Bandaran.
Penerima sumbangan rata-rata terdiri daripada kalangan golongan miskin, OKU, dan yang memerlukan serta individu dalam kuarantin yang keputusan bekalan makanan.
Ketua Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Kawasan Putatan, Abu Umar bin Razali yang turut mengedarkan bantuan berpesan sambil memetik sabda Rasulullah saw “أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ”, yang bermaksud “Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain.”
Beliau menyeru agar Virus Covid19 menjadi satu peringatan kepada kita, bahawa Allah adalah sebaik-baik pelindung.
“Kebersihan adalah syariat yang penting kepada manusia dan alam. Kita juga perlu patuh kepada ulul amri dan ulama dalam memelihara nyawa. Ahli masyarakat yang mampu dan berupaya menjadi manfaat kepada yang memerlukan.”
Hasil maklum balas orang ramai, antara masalah yang dihadapi oleh penduduk sekitar Putatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah kehilangan punca pendapatan, terutama mereka yang bergaji harian atau bekerja sendiri.
Justeru, PAS Kawasan Putatan mengalu-alukan penglibatan para dermawan bagi sama-sama meringankan beban rakyat. Sumbangan boleh disalurkan ke Bank Islam (1001 6010 0780 48) TETUAN PAS KAWASAN PUTATAN dan (rujukan : Covid19) ataupun
hubungi 0138582542 (Fatin) atau 0134732823 (Afif).